Mr D.I.Y dalam laluan kukuh tambah 180 cawangan lagi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Mr D.I.Y Group (M) Bhd berusaha untuk mencapai sasaran menambah 180 cawangan baharu selepas berjaya membuka 93 lagi cawangan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

-Advertisement-

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Soong Wei Siang, berkata pengembangan cawangan baharu yang berterusan dan pemulihan margin keuntungan kasar bagi mencerminkan impak kenaikan harga dijangka membolehkan momentum pemulihan pendapatan peruncit perkakasan rumah itu berterusan pada masa hadapan.

“Tambahan lagi, kami difahamkan bahawa gangguan rantai bekalan dan keadaan logistik kembali pulih, dan Mr D.I.Y sedang meningkatkan paras inventori di kedai agar ia dapat mengelakkan ketiadaan stok.

“Di samping itu, pihak pengurusan turut berkongsi maklumat bahawa MR TOY yang mengendalikan 53 cawangan setakat separuh pertama 2022 terus mencatat keuntungan sejak pembukaan semula ekonomi, manakala MR DOLLAR yang mempunyai 51 cawangan mendapat manfaat daripada strategi mengekalkan harga jualan serta rasionalisasi dalam tawaran produk,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Mr D.I.Y dan harga sasaran baharu RM2.90 daripada RM3 sebelum ini, dengan potensi kenaikan sebanyak 25 peratus.

Keuntungan bersih Mr D.I.Y pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 melonjak kepada RM135.19 juta berbanding RM82.13 juta, manakala perolehan naik 38 peratus dari tahun ke tahun kepada RM1.05 bilion daripada RM759.8 juta yang dicatatkan sebelum ini.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengaitkan keuntungan bersih serta perolehan yang lebih tinggi kepada peningkatan jumlah urus niaga yang menokok 35 peratus dari tahun ke tahun kepada RM36.1 juta selain sumbangan daripada cawangan baharu yang bertambah sebanyak 20.1 peratus dari tahun ke tahun iaitu daripada 827 kepada 993 cawangan.

-Advertisement-

Lonjakan dalam perolehan itu juga konsisten dengan keadaan negara yang mula memasuki peralihan ke fasa endemik pada 1 April lalu sehingga membawa kepada pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, normalisasi perbelanjaan pengguna dan tahap perbelanjaan yang lebih tinggi disebabkan oleh musim perayaan.

Mengulas prestasi itu, Wei Siang berkata keputusan separuh pertama 2022 oleh Mr D.I.Y sedikit tersasar daripada ramalan tinggi bank pelaburan itu biarpun ia mencatat rekod perolehan pada suku kedua tahun kewangan 2022.

“Kami terus menyukai Mr D.I.Y sebagai proksi utama untuk meraih pemulihan dalam perbelanjaan pengguna kerana rangkaian kedainya yang kukuh serta ekuiti jenama yang teguh.

“Jurang penilaian berbanding syarikat bermodal besar lain sepatutnya semakin mengecil berdasarkan profil pertumbuhan perolehan lebih baik dan kecairan perdagangan lebih tinggi yang dicatatkan syarikat ini,” katanya.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373