KUALA TERENGGANU 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Karnival Minggu Sains Negara (MSN) 2026 Zon Timur yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) melabuhkan tirainya dengan kejayaan memberangsangkan apabila berjaya menarik kehadiran seramai 20,419 pengunjung, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan oleh penganjur.
Penganjuran yang berlangsung dari 18 hingga 20 Julai itu membawa tema “Transformasi Kreatif, Inspirasi STEM” dengan matlamat memperkukuh budaya sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sepanjang program berlangsung, pengunjung daripada pelbagai peringkat umur berpeluang menyertai pelbagai aktiviti berteraskan STEM yang bersifat interaktif dan berinformasi. Antaranya termasuk pameran STEM, bengkel digital, sesi perkongsian ilmu menerusi Cakap-Cakap Sains, Galeri Sains Hands-On, kuiz sains, pertandingan navigasi dron, Cabaran Junior Chef, pertandingan muzikal sains, program kecergasan, pemeriksaan kesihatan serta pelbagai aktiviti lain yang memberi pengalaman pembelajaran secara menyeronokkan.
Majlis perasmian rasmi karnival telah disempurnakan pada 19 Julai oleh YB Dato’ Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Dato’ Ruziah Shafei.
-Advertisement-
Pencapaian jumlah kehadiran yang melepasi sasaran mencerminkan peningkatan kesedaran serta minat masyarakat terhadap usaha memperkasakan STI dan STEM sebagai pemacu pembangunan negara. Sambutan yang diterima juga membuktikan inisiatif seperti Minggu Sains Negara terus mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
MOSTI turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), rakan strategik, pempamer, sukarelawan, petugas serta semua pengunjung yang telah memainkan peranan dalam memastikan penganjuran Karnival Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur berlangsung dengan jayanya.
Selepas kejayaan penganjuran di Zon Timur, siri Karnival Minggu Sains Negara 2026 akan diteruskan di Zon Sarawak pada 29 dan 30 Julai 2026 bagi memperluaskan lagi usaha membudayakan sains dan inovasi di seluruh negara. – The Capital Post