PULAU PINANG 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Barisan pengurusan tertinggi PLUS Malaysia Berhad mengadakan lawatan kerja ke Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) bagi menilai perkembangan semasa projek serta memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Dato’ Amran Hafiz Affifudin, bersama Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, dan Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi. Delegasi memulakan lawatan dengan menghadiri sesi taklimat yang memperincikan kemajuan keseluruhan projek termasuk status terkini bagi Pakej 1.
Selesai sesi pembentangan, rombongan dibawa meninjau kawasan pembinaan untuk melihat sendiri perkembangan kerja di lapangan, selain mendapatkan gambaran mengenai cabaran pelaksanaan dan pendekatan yang diambil bagi memastikan setiap fasa projek dapat diteruskan dengan lancar.
Antara perkara yang diberi perhatian sepanjang lawatan ialah aspek pengurusan aliran trafik, kerja-kerja pengalihan utiliti, penyelarasan bersama agensi serta pihak berkepentingan, selain isu geoteknikal yang memerlukan pemantauan berterusan bagi memastikan projek kekal berada pada landasan yang dirancang.
-Advertisement-
Sehingga 19 Julai 2026, Pakej 1 projek tersebut telah merekodkan kemajuan fizikal sebanyak 30.63 peratus. Pencapaian itu disifatkan sebagai hasil kerjasama bersepadu antara PLUS Malaysia Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kontraktor, perunding dan semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Apabila siap sepenuhnya, Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 pengguna lebuh raya setiap hari melalui pengurangan kesesakan lalu lintas, peningkatan tahap keselamatan jalan raya serta perjalanan yang lebih lancar di Koridor Utara.
PLUS turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta semua pihak yang terus memberikan komitmen dan sokongan dalam menjayakan projek strategik ini demi memperkukuh infrastruktur negara serta meningkatkan kesejahteraan pengguna lebuh raya. – The Capital Post