Muhyiddin Bebas Empat Pertuduhan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 15 SEPTEMBER 2026 (The Capital Post) – Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM200 juta dalam kes berkaitan Program Jana Wibawa.

Keputusan itu dibuat Hakim Noor Ruwena Md Nurdin selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah dilepas tanpa dibebaskan terhadap empat daripada tujuh pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin.

Hakim bagaimanapun memutuskan perbicaraan masih diteruskan terhadap tiga pertuduhan lain berkaitan Jana Wibawa yang membabitkan dakwaan suapan berjumlah RM25.3 juta.

Mengikut pertuduhan asal, Muhyiddin, 79, didakwa ketika menjadi Perdana Menteri dan Presiden Bersatu menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM200 juta bagi parti itu daripada Bukhary Equity Sdn Bhd berkaitan projek Jana Wibawa antara 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika disabitkan.

-Advertisement-

Beliau turut menghadapi tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank dan CIMB Bank milik Bersatu di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 hingga Julai 2022.

Sementara itu, tiga pertuduhan yang masih dihadapi Muhyiddin melibatkan dakwaan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM25.3 juta bagi Bersatu daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd serta seorang individu dikenali sebagai Azman, berkaitan projek sama.

Keputusan mahkamah itu disambut Muhyiddin dengan reaksi lega, manakala penyokongnya yang berada di galeri awam turut memberikan sorakan selepas keputusan dibacakan – The Capital Post