Najib teliti mohon hakim tarik diri dengar ke 1MDB

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menimbangkan mengemukakan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan), Datuk Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

-Advertisement-

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu di awal perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi pagi ini.

Ia berikutan pendedahan Sequerah semalam bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan, pernah menjadi rakan kongsi di firma guaman sama sebelum ini.

Muhammad Shafee berkata, pihaknya mendapat arahan daripada anak guam untuk mengemukakan permohonan itu, bagaimanapun memerlukan masa untuk meneliti dan menimbangkan sama ada perlu berbuat demikian.

Beliau berkata, nama dan peranan Jasmine disebut oleh beberapa saksi penting dalam perbicaraan itu kesemuanya sebanyak 656 kali, tidak termasuk dalam pernyataan saksi.

“Sama ada Jasmine dipanggil sebagai saksi atau tidak, ini membawa kepada kemungkinan Yang Arif perlu menarik diri daripada mendengar kes ini,” katanya.

-Advertisement-

Peguam itu berkata, perkara berkenaan membabitkan isu yang kompleks dan ia akan diuruskan apabila perbicaraan seterusnya bersambung pada 14 Ogos ini.

Sequerah semalam berkata, beliau perlu mendedahkan bahawa Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co), ketika beliau menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.

Isu itu dibangkitkan apabila Muhammad Shafee ingin mendapat pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai pendakwaan.

Pada 7 Julai lalu, Jasmine yang juga sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low ditahan polis bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana 1MDB.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373