CYBERJAYA 24 Julai 2026 (The Capital Post) – National Scam Response Centre (NSRC) terus memperkukuh usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian menerusi Mesyuarat Pengurusan Tertinggi (MPT) NSRC Bil. 1/2026 yang memberi tumpuan kepada hala tuju strategik serta pengukuhan kerjasama antara agensi berkaitan.
Mesyuarat yang berlangsung di Aras 18, National Scam Response Centre, Tower 2, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Dato’ Hj. Abdul Halim Abdul Rahman.
Antara agenda utama yang dibincangkan ialah perkembangan semasa pengoperasian NSRC, pelaksanaan tindakan susulan serta inisiatif bagi mempertingkat keberkesanan penyelarasan antara agensi dalam menangani kes penipuan kewangan dan jenayah siber.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, YBhg. CP Dato’ Rusdi Mohd Isa; Ketua Pengarah National Fraud Response Centre (NFCC), YBhg. Dato’ Sri Shamshun Baharian Mohd Jamil; Timbalan Setiausaha Bahagian I, Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam, Tuan Hairudin Abdullah, serta wakil daripada pelbagai agensi berkaitan.
-Advertisement-
Agensi yang mengambil bahagian termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan CyberSecurity Malaysia.
Penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan NSRC melalui pendekatan bersepadu antara agensi bagi meningkatkan keberkesanan tindakan terhadap jenayah penipuan, sekali gus melindungi kepentingan serta keselamatan rakyat. – The Capital Post