OCBC perkenal logo baharu

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Logo OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) diperbaharui sebagai sebahagian usaha seluruh Kumpulan OCBC untuk menyatukan jenama di semua pasaran terasnya.

-Advertisement-

Langkah itu bertujuan mengukuhkan pendekatan ‘One Group’ atau ‘Satu Kumpulan’ yang disusun OCBC untuk memanfaatkan peluang besar di rantau ASEAN-Greater China.

Dengan tumpuan lebih khusus terhadap ASEAN-Greater China, Kumpulan OCBC yang berpangkalan di Singapura bercadang menggiatkan pertumbuhan dan menjana hasil tambahan bernilai S$3 bilion menjelang 2025, selain daripada pertumbuhan semasa yang dicatatkannya.

Kali terakhir logo OCBC diperbaharui adalah pada 1998.

“Walaupun dimodenkan, logo itu mengekalkan ikon kapal layar Cina klasik terkenal yang melambangkan jenama OCBC.

“Logo ini mencerminkan semangat keusahawanan pengasas OCBC dalam usaha gigih mereka menceburi pasaran ASEAN untuk membina rumah dan perniagaan yang membawa manfaat kepada insan dari generasi ke generasi.

“Simbol mercu jaya ini telah dipaparkan dalam setiap versi logo sejak bank diasaskan pada 1932,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

Sejajar dengan logo diperbaharui itu, satu cogankata baharu juga telah dilancarkan, iaitu ‘For now, and beyond’ atau ‘Untuk masa kini dan selanjutnya’.

Cogankata baharu itu mencerminkan tunjang OCBC untuk sentiasa mengambil pendekatan jangka panjang dalam semua urusan dan pelaburannya, dan komitmen bukan saja kepada masa kini tetapi juga masa depan dengan impak berpanjangan demi dunia yang lebih baik.

Jenama disatukan itu mencerminkan komitmen OCBC untuk memanfaatkan kekuatan bersama rangkaian menyeluruhnya, dan juga keupayaan ‘One Group’ dalam bidang perbankan, pengurusan kekayaan dan insurans, bagi menyokong aspirasinya yang kini merentasi sempadan dan juga mendorong pertumbuhan perniagaan dan individu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OCBC, Helen Wong, berkata aliran perniagaan antara ASEAN dan Greater China bukan sesuatu yang baharu, sesungguhnya kumpulan perbankan itu mengiktiraf potensinya.

Beliau berkata, selama ini, pihaknya telah membina francais yang kukuh dan memantapkan kedudukan bank untuk memanfaatkan alirannya.

Katanya, kesan pembukaan semula China selepas pandemik, dan kebangkitan ASEAN bagi melaksanakan strategi China campur satu dan faktor geopolitik lain telah mengukuhkan lagi potensi berkenaan.

-Advertisement-

“Jenama disatukan yang kami lancarkan hari ini menandakan satu lagi langkah strategik yang mengukuhkan pendekatan ‘One Group’ kami, sebagai satu daripada lapan tunggak teras strategi korporat yang diperbaharui pada 2022.

“Malah, usaha ini juga mengukuhkan komitmen kami kepada pelanggan apabila mereka berurusan dengan bank kami, mereka memanfaatkan kekuatan tergabung Kumpulan OCBC untuk menyokong mereka dengan lancar merentasi pasaran,” katanya.

Wong berkata, dengan pendekatan ‘One Group’ itu, francais komprehensif ASEAN-Greater China dan juga tawaran dwipusat yang terdiri daripada Singapura dan Hong Kong kini semakin menarik.

Beliau berkata, di ASEAN, OCBC berkhidmat kepada tujuh pasaran utama menerusi anak-anak syarikat perbankan dan insurans yang ditubuhkan di dalam negara, dan cawangan dan pejabat bank, yang menyumbang kepada 98 peratus daripada pertumbuhan ekonominya di rantau ini.

“Di Greater China, kami mempunyai kira-kira 4,500 kakitangan yang berkhidmat di 67 cawangan meliputi 17 bandar raya di China, Hong Kong, Macau dan Taiwan yang disokong oleh pakatan kukuh kami dengan Bank of Ningbo.

“Justeru, kami yakin bahawa kami dapat menjana hasil tambahan berjumlah S$3 bilion menjelang 2025 menerusi tumpuan kami terhadap ASEAN-Greater China,” katanya.

Mengenai pembaharuan jenama itu, Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen, berkata langkah itu menekankan lagi kelancaran operasi OCBC Group di semua pasaran termasuk Malaysia.

“Sejarah kami beroperasi selama ini di Malaysia, iaitu sejak 1917, telah membolehkan kami mengukuhkan kedudukan kami sebagai rakan kerjasama yang dipercayai kepada komuniti di sekeliling kami.

“Sejak dulu lagi, kami menghargai nilai yang dilihat oleh orang ramai dalam jenama kami, tujuan mereka berurusan dengan bank kami dan kepercayaan yang mereka letakkan dalam nama kami.

“Kami ingin meneruskan dan membina kepercayaan yang diberikan kepada kami pada masa kini dan masa depan,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373