BESTARI JAYA: Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan mengikut undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina secara tidak sah, dengan pendekatan berhemah bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam untuk tidak membenarkan pembinaan rumah ibadat secara tidak sah tanpa mematuhi peraturan akan mempercepat pelaksanaan tindakan yang sedia ada di negeri itu.
Beliau menjelaskan bahawa Selangor mempunyai sistem tersusun melalui Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS) yang telah lama diwujudkan untuk tujuan ini.
“Sepanjang 15 tahun lalu, kita bukan sahaja membenarkan rumah ibadat beroperasi di lokasi yang sesuai dan sah, malah turut mengambil tindakan merobohkan atau melupuskan rumah ibadat yang dibina secara tidak teratur. Puluhan tindakan telah dilaksanakan dan rekod ini wujud sejak 2015 lagi,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pecah Tanah Projek Solar Skala Besar Bestari di sini hari ini.
Amirudin menambah, kerajaan negeri akan memperkemas kaedah tindakan selaras dengan undang-undang sambil memastikan keharmonian masyarakat terjaga.
-Advertisement-
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dalam jawatankuasa yang diselaraskan oleh LIMAS, mengambil kira isu seperti status tanah, pemilikan, zon guna tanah, serta kesan terhadap kawasan sekeliling.
Semalam, Perdana Menteri menekankan bahawa semua kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan Kerajaan Persekutuan berhubung pembinaan rumah ibadat secara tidak sah bagi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.
– BERNAMA
-BeritaHarian