Padah bakar sofa rumah, ugut isteri, pengayuh beca kena dakwa

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Pengayuh beca didakwa di mahkamah berasingan atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar sofa, memecahkan siling dan mengugut mahu membakar rumah untuk menakutkan isterinya, minggu lalu.

-Advertisement-

Shah Rizal Ithnin, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berasingan yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan pertama di Mahkamah Sesyen, dia didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar sofa, rak pinggan dan barang dapur dengan maksud menyebabkan kerosakan terhadap isterinya, Sri Masturah Omar, 47.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Km 10, Jalan Balik Bukit, Bukit Lintang, Melaka Tengah, pada kira-kira jam 9 pagi, 3 Jun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja melakukan khianat terhadap mangsa sama dengan cara memecahkan siling dan tingkap di bahagian dapur dan bilik rumah di tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-Advertisement-

Pada prosiding di Mahkamah Majistret, Shah Rizal dituduh melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya dengan maksud hendak menakutkan dengan cara mahu menyimbah petrol untuk membakar rumah.

Kesalahan itu dilakukan di ruang tamu rumah yang sama, kira-kira jam 2.20 petang pada 1 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim dan J Banusha tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula 10 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373