PAS pinggir suara rakan komponen GAGASAN – BERJASA

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: PAS didakwa membelakangkan rakan komponen dalam pakatan politik Gagasan Sejahtera (GAGASAN) apabila tidak membincangkan keputusan menyokong calon MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

-Advertisement-

Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga didakwa gagal menghormati dan menyambut baik pandangan rakan gabungan mereka supaya isu calon PRK berkenaan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden GAGASAN.

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Hazwan Mohamad, berkata selaku parti komponen, BERJASA, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dan Parti Cinta Malaysia (PCM) tidak pernah dipanggil untuk berbincang soal calon PRK Parlimen Tanjung Piai.

“Banyak kali BERJASA menunjukkan isyarat supaya Majlis Presiden GAGASAN duduk berbincang tetapi tiada sambutan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hazwan menjelaskan pihaknya beberapa kali menghubungi kepemimpinan PAS untuk menyatakan sokongan dan gesaan supaya calon Melayu ditonjolkan di kerusi itu.

Tindakan BERJASA bertanding pada PRK itu adalah atas dasar prinsip parti, bukan kerana kecil hati, atau ingin bermusuh dengan rakan GAGASAN.

“Kita sudah mempersiapkan jentera berkempen untuk Barisan Nasional (BN) sekiranya BN mengumumkan calon Tanjung Piai adalah orang Melayu Islam.

“Penjelasan yang diberikan beberapa hari lalu cukup untuk menerangkan pendirian masing-masing. Kini masa untuk BERJASA tumpukan membawa isu rakyat di Tanjung Piai kepada perhatian pihak berwajib.

“Kami menyeru masyarakat Tanjung Piai membuat perubahan untuk menghantar Tok Badh (Presiden BERJASA, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz) ke Parlimen atas kapasiti calon yang mempunyai latar belakang berwibawa,” katanya.

Hazwan berkata BERJASA mengambil sikap terbuka dalam isu PRK Tanjung Piai dan bersedia berbincang selepas ini bersama rakan komponen GAGASAN untuk merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

-Advertisement-

“Tetapi kuncinya adalah musyarawah atau perbincangan sesama parti komponen,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan mengkaji semula hubungan dengan BERJASA dalam GAGASAN susulan rakan komponen mereka meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Pendirian PAS itu bersandarkan persefahaman dicapai dalam Muafakat Nasional antara parti siasah itu dan UMNO yang secara tidak langsung membabitkan GAGASAN dan Barisan Nasional (BN), dengan memastikan tidak akan berlaku perebutan kerusi sesama sendiri.

Sementara itu, mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menyifatkan kerjasama dalam GAGASAN bersandarkan kepada budi bicara dan moral politik tanpa membabitkan syarat ketat, Hazwan berkata ia selari dengan pandangan BERJASA.

Beliau berkata, berbeza pandangan dan tindakan tanpa bertelagah adalah tanda mereka saling menghormati.

Semalam, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, mengakui kerjasama yang dibentuk dalam GAGASAN adalah longgar yang hanya terikat pada budi bicara dan moral politik.

“Ia hanya bersifat taawun siyasi, bukan hubungan dengan syarat yang ketat, jadi banyak yang tak terikat, cuma budi bicara dan terpulang pada moral politik. Sepatutnya hormati kawan dalam GAGASAN, ada disiplin dalam parti masing-masing,” katanya.

GAGASAN diterajui PAS yang dibentuk pada 2016 sebagai blok kuasa ketiga turut dianggotai badan bukan kerajaan (NGO). -Bharian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373