Patuh SOP, vaksinasi serlah patriotisme

Estimate Reading Time: < 1 minute

MASUKNYA Ogos bermakna kita bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-64. Namun, sambutan ini masih dalam kemelut pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Pandemik ibarat musuh ‘halimunan’ , sudah tentu Malaysia perlukan komitmen semua demi memutuskan rantaian COVID-19.

Persoalannya, apakah kita betul-betul sedia bertindak demi mendapat kemerdekaan daripada ancaman pandemik? Pola pemikiran masyarakat seperti leka dan alpa terhadap musuh halimunan ini.

Sikap mementingkan diri boleh menjatuhkan reputasi Malaysia. Keprihatinan dan disiplin dalam masyarakat moden tidak sekuat dahulu.

Lebih-lebih lagi, peningkatan kes positif COVID-19 seolah-olah sudah biasa kepada masyarakat. Ini boleh membawa krisis kesejahteraan negara, sekali gus mencerminkan kebolehpercayaan masyarakat belum mencapai penanda aras.

Isu ini juga memberi kejutan budaya kepada generasi muda apabila mula mengenali erti patriotisme secara realistik. Inilah realiti pahit negara tidak berkesudahan.

Dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pula, generasi muda terkurung di alam maya. Walaupun teknologi itu menyokong pelbagai aplikasi dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat, persoalannya apakah ia digunakan secara berhemah dan rasional?

Kewujudan teknologi sebegini bertujuan memajukan negara, tetapi ia disalah guna warganet hingga menjatuhkan maruah tanah air ketika musibah pandemik.

-Advertisement-

Jadi, di manakah semangat patriotik sejati kita? Patriotisme bukan sepenuhnya terletak kepada trend pakaian mahupun kemeriahan alam maya, tetapi kerjasama semua menyelesaikan masalah negara secara efektif dan efisien.

Oleh itu, masyarakat perlu keluar daripada kemerdekaan hanya sekadar fesyen mahupun hiburan Kita perlu bertindak sebagai rakyat beriltizam memberi penyelesaian terhadap isu negara.

Patriotisme diperlukan Malaysia adalah pematuhan semua kepada prosedur operasi standard (SOP), penyertaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan amalan kawalan kendiri.

Walaupun mungkin sukar, ia perlu direalisasikan demi perlindungan semua daripada COVID-19.

Kemerdekaan daripada ancaman pandemik boleh dicapai sekiranya masyarakat mengubah minda hingga negara dapat menuju vaksinasi 100 peratus atau sekurang-kurangnya imuniti kelompok.

Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris

-BH