Pelabur asing terus beli saham Bursa Malaysia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dana asing terus mengalir masuk ke Malaysia bagi minggu kedua berturut-turut, mencatatkan belian bersih sebanyak RM152.9 juta minggu lalu, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

-Advertisement-

Dalam Laporan Aliran Dana mingguan hari ini, unit MIDF Research itu berkata, dana asing bertindak sebagai penjual bersih hanya pada hari Selasa merekodkan RM14 juta sejurus sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS).

Namun, katanya jumlah itu dengan mudah diimbangi oleh aliran masuk bersih yang dicatatkan dalam tempoh empat hari dagangan yang lain.

“Aliran masuk bersih paling kukuh daripada dana asing ialah pada Khamis berjumlah RM50.5 juta, iaitu semasa dan selepas mesyuarat FOMC,” katanya.

MIDF Research berkata, minggu itu bermula dengan aliran masuk bersih RM25.1 juta pada Isnin oleh pelabur asing dan berakhir dengan aliran masuk bersih RM18.9 juta pada Jumaat.

“Institusi tempatan mengekalkan pendirian jualan bersih mereka untuk minggu ketiga pada kadar RM70.7 juta.

“Mereka adalah penjual bersih RM62.8 juta pada Khamis, RM36.9 juta pada hari Rabu dan RM11.5 juta pada Isnin,” katanya sambil menambah ini diimbangi oleh belian bersih pada Selasa dan Jumaat, masing-masing berjumlah RM15.2 juta dan RM25.4 juta,” katanya.

Peruncit tempatan masih menjadi penjual bersih minggu lalu pada kadar RM82.3 juta.

“Mereka adalah penjual bersih setiap hari dalam minggu urus niaga berkenaan, dengan aliran keluar paling banyak pada hari Jumaat berjumlah RM44.3 juta dan terendah pada hari Selasa pada RM1.2 juta,” katanya.

Firma penyelidikan itu turut mendedahkan bahawa peruncit tempatan telah menjual bersih selama lapan hari dagangan berturut-turut.

Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk bersih oleh pelabur asing ialah perkhidmatan kewangan, utiliti dan produk serta perkhidmatan pengguna, masing-masing mencatatkan RM222.8 juta, RM49.8 juta dan RM25.1 juta.

-Advertisement-

Sementara itu, tiga sektor teratas dengan aliran keluar bersih ialah produk dan perkhidmatan perindustrian mencatatkan RM86.0 juta, teknologi RM59.2 juta dan perladangan RM12.5 juta.

Setakat ini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 19 daripada 30 minggu bagi tahun 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.27 bilion.

“Institusi tempatan adalah penjual bersih untuk tempoh 23 daripada 30 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih RM7.96 juta. Peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 19 daripada 30 minggu 2022.

“Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih, merekodkan sejumlah RM1.7 bilion,” katanya.

Menurut MIDF Research, akhir bulan Julai menyaksikan dana asing mencatatkan aliran masuk bersih yang menjadi pembalikan daripada aliran keluar bersih yang dilihat pada bulan Jun.

Aliran masuk bersih bagi bulan Julai ialah RM182.2 juta.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan runcit dan pelabur institusi, masing-masing sebanyak 10.98 peratus dan 17.17 peratus.

Terdapat penurunan ADTV dalam kalangan pelabur asing sebanyak 8.81 peratus, katanya.

-BERNAMA -BH