Hasilkan lebih banyak filem berunsur sejarah, biografi tokoh

Estimate Reading Time: 2 minutes

Filem berjudul Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof dilihat berjaya membuka mata pelbagai pihak mengenai kepentingan filem bertemakan sejarah untuk diberi nafas baharu.

-Advertisement-

Filem itu berjaya menarik minat semua lapisan masyarakat, termasuk golongan remaja untuk mengetahui sejarah, di samping mengetahui tokoh pejuang Melayu bernama Mat Kilau menentang penjajah Inggeris di Pahang.

Isunya di sini ialah bukan jumlah kutipan sesebuah filem itu yang menjadi persoalan, tetapi keberanian pengarah dan penerbit mengangkat elemen sejarah sebagai tema filemnya.

Tidak ramai pengarah atau penerbit berani untuk menongkah arus menghasilkan karya filem memandangkan tema menonjolkan biografi tokoh seperti Mat Kilau ini kurang popular.

Lazimnya filem menonjolkan tema berunsur percintaan, muzikal atau komedi lebih digemari audiens dan mudah mendapat tempat dalam kalangan peminat filem tanah air.

Kajian mendalam elak kesilapan fakta

Tambahan pula filem yang menonjolkan tema berunsur sejarah memerlukan kajian mendalam supaya tidak berlaku kesilapan fakta atau menimbulkan isu kontroversi sehingga boleh menyinggung mana-mana pihak.

Justeru, bagi memastikan fakta sejarah tidak meragukan ia perlu mendapatkan data sahih menerusi penyelidikan dengan merujuk pelbagai jenis dokumen, buku, artikel, kertas kerja, majalah dan pakar serta waris tokoh.

Kaedah ini dapat memberikan data bersifat autentik bagi menghidupkan naratif sejarah yang bukan sahaja tepat, tetapi menarik bagi filem yang ingin dihasilkan. Tidak dinafikan, filem Melayu yang mengangkat tema berunsur sejarah dilihat kurang mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton. Namun, tidak kurang juga naskhah filem sejarah yang mampu mengutip jualan tiket box office.

Dalam sejarah filem moden negara, filem Bukit Kepong arahan Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin boleh dikatakan filem berlatar belakang sejarah yang berjaya mendapat box office pada zamannya.

Ada beberapa buah filem lain yang pernah berjaya membuat kutipan tertinggi di negara kita namun kebanyakan temanya bersifat pelbagai, tetapi ia bukan tema berunsur sejarah atau biografi tokoh. Filem Leftenan Adnan arahan Aziz M Osman juga antara filem biografi dan sejarah mampu menggegarkan panggung dan menjadi box office.

-Advertisement-

Sehubungan itu, pengusaha filem tempatan wajar mengetengahkan sejumlah tokoh pejuang tanah air kita untuk ditonjolkan dalam bentuk filem bertemakan sejarah.

Antaranya ialah Tok Janggut, Dato Bahaman, Tok Gajah, Tunku Muhammad Saat, Tengku Kudin, Rosli Dhobi, Haji Abdul Rahman Limbong, Abu Bakar Al-Bakir, Dato Maharajalela, Dol Said dan Syarip Usman. Di samping itu, tokoh kebangkitan nasionalisme peringkat awal seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Za’ba, Tok Kenali juga wajar difilemkan.

Tokoh seperti Ibrahim Yaakob, Burhanuddin al-Helmi, Aminuddin Baki, Ungku Omar, Abdul Rahim Kajai, Harun Aminurrashid dan ramai lagi juga boleh diketengahkan dalam bentuk filem bertemakan sejarah atau biografi tokoh.

Semai semangat patriotik

Dalam konteks ini pengusaha filem tempatan juga sewajarnya melihat usaha dan keberanian pengarah filem Indonesia yang sering menghasilkan filem berunsur sejarah menarik dan hebat.

Antaranya ialah filem Sultan Agung: Tahta, perjuangan dan cinta yang menampilkan ketokohan Sultan Agung dalam perjuangan melawan penjajah Belanda diarahkan Hanung Bramantyo pada 2018.

Ada banyak lagi filem dari seberang yang menonjolkan tokoh negara, pejuang, kisah berlatar belakang sejarah, merekodkan kejayaan luar biasa dalam jualan tiket. Filem bercirikan patriotik ini bukan sahaja mendapat sambutan luar biasa, malah berjaya menarik minat golongan muda untuk terus mengagumi tokoh pejuang tanah air mereka.

Justeru, filem berunsur sejarah dan biografi tokoh amat penting dihasilkan bertujuan menyemai semangat patriotik rakyat berbilang bangsa. Secara tidak langsung rakyat dapat mengetahui pahit getir perjuangan tokoh ini dan sejarah negara.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

-BH