Pelaburan Tesla pacu perubahan baharu ekonomi negara

Estimate Reading Time: 3 minutes

KERJASAMA ekonomi antara Malaysia dengan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan Space X, Elon Musk membuka satu lembaran baharu kepada landskap pembangunan ekonomi negara. Ia menjadi pemacu perubahan sangat diperlukan dalam proses reformasi ekonomi lebih progresif, inklusif, moden dan mampan.

-Advertisement-

Pasca pandemik COVID-19, umum mengetahui ekonomi Malaysia berada pada fasa pemulihan dan memerlukan satu bentuk ‘game changer’ untuk mereformasikan ekonomi secara struktural dan menyeluruh.

Sebelum pandemik, ekonomi kita sudah berhadapan dua cabaran utama, iaitu cabaran revolusi teknologi dan juga cabaran krisis iklim. Di sinilah kita perlu faham signifikasi kepada pelaburan syarikat Tesla Inc dan SpaceX kepada ekonomi Malaysia.

Hakikatnya, kita bukan hanya inginkan pelaburan, tetapi memerlukan pelaburan berkualiti tinggi. Kita bukan sahaja menginginkan peluang pekerjaan diwujudkan, bahkan pekerjaan berpendapatan tinggi. Kita bukan hanya inginkan pertumbuhan ekonomi, tetapi pertumbuhan secara inklusif dan mampan.

Realitinya, proses perindustrian perlu ada peningkatan dalam rantaian nilai. Kita tidak boleh bergantung kepada aktiviti pengeluaran bernilai rendah seperti proses pemasangan asas semata-mata dan kurangnya kesan limpahan ekonomi, terutama di kawasan luar bandar.

Kita tidak boleh selama-lamanya hanya menjadi pengguna akhir kepada teknologi, sebaliknya perlu ada juara akan membawa kemajuan dan penciptaan teknologi baharu. Kita tidak boleh lagi menjadi magnet kepada tenaga buruh berkemahiran rendah hingga ekonomi kita terlalu bergantung kepada golongan itu yang mempunyai kos murah.

Kita perlu menjadi tarikan kepada pelaburan berteknologi tinggi, akhirnya dapat mencipta peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi. Kita juga perlu mengatasi isu dialami ketika ini, iaitu krisis iklim ini secara tuntas.

Sudah lebih 30 tahun ekonomi kita berada pada kategori berpendapatan sederhana tinggi. Sebab itulah Bank Dunia menyatakan ekonomi kita mengalami masalah perangkap pendapatan pertengahan.

Bagi mereformasikan ekonomi kita menjadi negara berpendapatan tinggi, ia perlu dipacu aktiviti inovasi dan mempunyai tahap produktiviti tinggi. Jadi, kedatangan Musk sememangnya akan menjadi pencetus kepada permulaan perjalanan baharu dalam ekonomi kita.

Ia boleh dilihat sebagai permulaan kepada ‘great reset’ kepada ekonomi Malaysia. Pelaburan Tesla Inc dan Space X ini dijangka akan berperanan sebagai sauh kepada penyelesaian masalah ekonomi membelenggu rakyat ketika ini, seperti kadar pertumbuhan gaji mendatar, kadar pertumbuhan kos sara hidup meningkat lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan pendapatan, masalah guna tenaga tidak penuh, graduan menganggur dan kebergantungan kepada buruh asing berkemahiran rendah.

Perkara pokok di sini adalah peranan kerajaan itu sendiri. Perlu ada satu bentuk hubungan simbiotik antara kerajaan dengan Musk. Ini perlu digerakkan segera, seperti meningkatkan perbelanjaan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), terutama berkaitan teknologi pada peringkat permulaan memerlukan kos serta berisiko tinggi untuk memastikan peralihan teknologi berlaku akhirnya akan meningkatkan tahap produktiviti negara.

Pertumbuhan kadar upah cerah

-Advertisement-

Dengan peningkatan dalam tahap produktiviti, skop untuk peningkatan dalam pertumbuhan kadar upah negara juga akan menjadi semakin cerah. Begitu juga usaha memperkasakan lagi tahap kekuatan permintaan domestik negara dalam konteks kecenderungan untuk melabur dalam ekonomi domestik secara keseluruhan, bukan sahaja dapat mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, bahkan menarik minat pekerja mahir untuk bekerja ke negara ini.

Apa yang penting, rakyat dan pelabur mempunyai keyakinan ekonomi Malaysia ketika ini berada pada landasan betul dan mempunyai prospek baik pada masa hadapan. Maknanya, dalam jangka panjang, rakyat dan pelabur perlu melihat usaha dilakukan kerajaan akan dapat meningkatkan prestasi ekonomi dengan pertumbuhan ekonomi menjanjikan kemakmuran serta kesejahteraan dalam hidup serta ekosistem perniagaan kondusif untuk bakal usahawan dan pelabur untuk membina perniagaan, perdagangan, serta pelaburan lebih baik.

Dalam hal ini, inovasi dan persekitaran untuk inovasi adalah sangat kritikal. Dengan adanya inovasi, teknologi baharu dihasilkan haruslah juga dimanfaatkan kepada sektor lain yang kritikal, seperti dalam sektor pertanian, dan juga meningkatkan infrastruktur digital, terutama di kawasan luar bandar.

Kita perlu ada visi dan pemikiran lebih jauh untuk menjadi pemimpin dan juara kepada teknologi serta usaha untuk mengatasi masalah iklim dalam konteks ekonomi pasca pandemik.

Misalnya, apakah projek ‘moonshot’ kita pada masa hadapan? Adakah ada program mewujudkan usahawan teknologi tempatan untuk menjadi seperti Musk suatu hari nanti? Apakah akan ada syarikat Malaysia menjadi gah seperti Tesla Inc ataupun Space X pada masa hadapan?

Kita perlu faham, kejayaan Musk pada hari ini juga antaranya hasil hubungan simbiotik antara sektor awam dengan swasta di Amerika Syarikat (AS). Syarikat Musk ini misalnya, mendapat subsidi berbilion dolar daripada kerajaan AS untuk membangunkan kapasiti perniagaannya.

Sebab itulah, jika kita ingin mendapatkan manfaat langsung dan juga secara jangka panjang, peranan pihak swasta sahaja tidak mencukupi. Kerajaan perlu berperanan aktif dan mempunyai hubungan bersama dengan pihak swasta. Maksudnya, kerajaan tidak boleh hanya menjadi pemudah cara semata-mata dalam hal ini.

Mengikut laporan media, Musk dijangka akan datang ke negara ini dalam jangka terdekat. Diharapkan ada perbincangan dan maklumat lebih khusus serta mungkin juga kita boleh melantik beliau sebagai penasihat khas berkaitan dengan pembangunan teknologi baharu dan berimpak tinggi serta pembangunan dalam sektor aeroangkasa kepada kerajaan.

Penulis adalah Profesor Madya Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM)

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373