Reformasi AUKU Pacu Transformasi Pendidikan Tinggi

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 27 OGOS 2026 (The Capital Post) – Reformasi pendidikan tinggi negara perlu memberi ruang lebih luas kepada universiti untuk berkembang sebagai pusat ilmu, penyelidikan dan pemikiran yang dinamik, dengan usaha memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilihat sebagai antara langkah penting ke arah perubahan tersebut.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata institusi pendidikan tinggi tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan lama ketika negara sedang berdepan perkembangan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), teknologi serta perubahan keperluan kemahiran.

Menurut beliau, universiti perlu kekal sebagai medan pembelajaran dan kecemerlangan yang membolehkan mahasiswa serta ahli akademik mengembangkan pemikiran kritis, menyuarakan pandangan dan menghasilkan karya ilmiah.

Beliau turut menegaskan bahawa kebebasan mahasiswa perlu diperluaskan supaya universiti dapat menjadi ruang kepada percambahan idea serta perbahasan yang matang. Namun, kebebasan tersebut perlu dilaksanakan bersama tanggungjawab, pematuhan undang-undang dan penghormatan terhadap tatakelola institusi.

Perdana Menteri berkata kerajaan mahu beberapa langkah berkaitan kebebasan mahasiswa dan kebebasan akademik dilaksanakan dalam tempoh terdekat, sementara kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi dirangka berdasarkan agenda reformasi yang lebih menyeluruh.

Beliau turut mengarahkan supaya proses berkenaan dipercepatkan, termasuk membawa beberapa cadangan segera untuk pertimbangan Jemaah Menteri. Kerangka perundangan baharu itu pula disasarkan untuk dibentangkan sebelum berakhirnya sidang Parlimen pada November ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata perubahan terhadap AUKU perlu dilihat dalam konteks reformasi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi dan bukan sebagai usaha yang terpisah.

Beliau berkata Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang dirangka berdasarkan pandangan lebih 8,000 pemegang taruh menjadi antara asas penting dalam membentuk sistem pendidikan tinggi yang lebih fleksibel, responsif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan.

Antara perubahan yang diketengahkan ialah konsep ‘perungkaian sistem pendidikan tinggi’ atau unbundling higher education system, yang menggalakkan pendekatan pendidikan lebih fleksibel dan tidak hanya bergantung kepada model pembelajaran berasaskan kampus secara tradisional.

-Advertisement-

KPT juga sedang mengkaji AUKU bersama beberapa perundangan lain berkaitan pendidikan tinggi sebagai sebahagian daripada cadangan membentuk Akta Pendidikan Tinggi Tunggal atau One Higher Education Act (OHEA) yang boleh menjadi asas perundangan sektor tersebut untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Dr. Zambry berkata proses merangka kerangka baharu itu akan melibatkan pandangan mahasiswa, ahli akademik dan pentadbir universiti bagi memastikan perubahan yang diperkenalkan benar-benar mencerminkan keperluan ekosistem pendidikan tinggi semasa dan masa hadapan.

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM), YM Tengku Datuk Dr. Mohd Azzman Shariffadeen berpandangan sistem pendidikan perlu beralih daripada pendekatan berasaskan kandungan semata-mata kepada pembelajaran berteraskan inkuiri, penyelesaian masalah sebenar dan laluan pembelajaran yang lebih fleksibel.

Beliau berkata pendekatan tersebut penting bagi melahirkan pembelajar berorientasikan tujuan yang bukan sahaja mempunyai pengetahuan dan kemahiran, malah memiliki nilai, daya tahan serta kebijaksanaan dalam membuat keputusan ketika berdepan cabaran masa hadapan.

Menteri Pendidikan, YB Datuk Seri Fadhlina Sidek pula menekankan kepentingan pendekatan pendidikan manusiawi yang membentuk pelajar secara menyeluruh, bukan sekadar berdasarkan pencapaian akademik atau keperluan pasaran pekerjaan.

Beliau berkata pembentukan karakter perlu diteruskan sehingga ke peringkat pendidikan tinggi agar mahasiswa yang diberikan kebebasan dan autonomi turut memiliki nilai, rasa tanggungjawab serta keupayaan untuk memainkan peranan sebagai pembina negara bangsa.

Pandangan tersebut dikemukakan dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 bertemakan “Pendidikan Masa Depan Negara dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU)” yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, malam semalam. Forum itu menghimpunkan Perdana Menteri selaku moderator bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Menteri Pendidikan dan Presiden ASM bagi membincangkan hala tuju reformasi serta masa depan pendidikan negara – The Capital Post