Penanaman Pokok Kebangsaan di Parlimen Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

Kuala Lumpur, 3 Disember 2019 (The Capital Post) – Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Parlimen Malaysia telah menganjurkan Program Penanaman Pokok Kebangsaan bertempat di Taman Rusa, Parlimen Malaysia pada 3 Disember 2019. Program ini antara lainnya bertujuan untuk mempromosikan pokok Merbau sebagai Pokok Kebangsaan selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kawasan berhutan serta nilai dan keunikan pokok pokok hutan negara.

-Advertisement-

Pengiktirafan pokok Merbau (Intsia palembanica) sebagai Pokok Kebangsaan telah dibuat pada 23 Ogos 2019 oleh YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia bersempena dengan Majlis Perasmian Pameran ‘Hutan Kita’ yang telah diadakan di Menara Kuala Lumpur.

Pengiktirafan Pokok Kebangsaan dibuat bagi mencerminkan kekayaan biodiversiti negara dan kesungguhan dalam memelihara sumber alam semula jadi yang telah dianugerahkan khususnya khazanah hutan.

-Advertisement-

Sebanyak 40 batang anak pokok telah ditanam semasa program tersebut oleh Jemaah Menteri, Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Ahli ahli Parlimen yang meliputi Pokok Kebangsaan iaitu pokok Merbau serta pokok-pokok hutan bernilai yang lain termasuk pokok Chengal, Belian, Meranti Kuning, Kapur dan Jelutong. Pokok-pokok ini merupakan pokokpokok hutan yang ikonik di seluruh negara dan mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dihayati. – The Capital Post