Pencapaian kontinjen negara di Chengdu sukar diulangi

Estimate Reading Time: < 1 minute

CHENGDU, China: Pencapaian cemerlang kontinjen Malaysia di UNIVERSIADE Chengdu mungkin sukar diulangi di UNIVERSIADE Rhine-Ruhr, Jerman pada 2025 nanti.

-Advertisement-

Tambahan pula wushu sekali lagi tiada dalam senarai 20 acara sukan yang akan dipertandingkan seperti yang berlaku di Napoli 2019.

Temasya sukan universiti dunia musim panas yang memasuki edisi ke-32 itu akan berlangsung pada 16 hingga 27 julai 2025 di Rhine-Ruhr Jerman membabitkan lima buah bandar utama iaitu Bochum, Duisburg, Dusseldorf, Essen, Mulheim An Der Ruhr.

Sukan wushu yang mula dipertandingkan di Taipei 2017 tidak pernah menghampakan kem Malaysia apabila menyumbang dua perak, satu gangsa pada termasya itu.

Malah, skuad Wushu melakar detik manis buat kontinjen Malaysia di Chengdu apabila Tammy Tan Hui Ling mencipta sejarah memenangi pingat emas sulung negara di UNIVERSIADE.

Kejayaan Hui Ling dalam acara qianshu wanita itu sekali gus menamatkan penantian 38 tahun sejak penyertaan pertama di Kobe, Jepun 1985.

Selain emas dari Hui Ling, skuad wushu negara juga cemerlang apabila turut membawa pulang tiga gangsa pada temasya edisi ke-31 itu.

-Advertisement-

Malangnya apabila negara Eropah kembali menjadi tuan rumah pada 2025 nanti, sukan wushu terkeluar lagi daripada sukan pilihan di samping 15 sukan wajib yang ditetapkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Dunia (FISU).

Acara sukan yang akan dipertandingkan di Rhine-Ruhr nanti adalah akuatik (terjun, renang marathon, renang dan polo air), memanah, olahraga, badminton, bola keranjang, lawan pedang, gimnastik, judo, mendayung, ping pong, taekwondo, tennis dan bola tampar.

Sukan bola keranjang tiga lawan tiga pertama kali dipertandingkan dalam sejarah UNIVERSIADE, manakala bola tampar pantai kembali semula selepas 12 tahun menghilang.

Taruhan Malaysia di Rhine Ruhr sudah pasti kepada sukan badminton dan terjun sambil mengharapkan taekwondo pula untuk melakar kejutan.

Majlis penyerahan bendera UNIVERSIADE dari Chengdu kepada wakil negara Jerman berlangsung pada majlis penutup di Taman Musik Terbuka Chengdu, semalam.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373