Pengadil Malaysia kempunan bertugas di Piala Dunia kerana tiada lesen VAR

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 26 Okt 2022 (The Capital Post): Barisan pengadil tempatan terpaksa melupakan impian mengadili pertandingan bola sepak berprestij dunia sekiranya tidak mempunyai lesen Video Bantuan Pengadil (VAR).

-Advertisement-

Tanpa pengalaman berkaitan VAR, pengadil tempatan bukan sahaja tidak layak bertugas di Piala Dunia dan Sukan Olimpik, malah turut tidak berpeluang dipilih mengendalikan aksi penting saingan tertinggi kelab Asia iaitu Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (ACL).

Ini kerana syarat dan kriteria lebih ketat ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk melantik pengadil yang mempunyai pengalaman berkaitan VAR selepas teknologi itu digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa ketika ini.

Sebagai contoh, kesemua 36 pengadil, 69 penolong pengadil dan 24 pegawai perlawanan video (VMO) yang dipilih FIFA bagi Piala Dunia 2022 di Qatar bermula bulan depan, mempunyai lesen VAR dan telah menggunakannya secara konsisten.

Daripada 24 VMO yang dipilih, Muhammad Taqi Aljaafari Jahari bakal menjadi pengadil kelima dari Singapura yang bertugas di Piala Dunia selepas mendapat manfaat daripada pelaksanaan VAR di republik itu, sementara tiada wakil dari Malaysia akan bertugas di Qatar.

Tenaga Pengajar Teknikal FIFA yang merupakan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh mendedahkan kepada Bernama, Malaysia terlepas peluang mencalonkan salah seorang pengadil lelaki terbaiknya untuk bertugas di Piala Dunia 2022 kerana tidak memiliki lesen VAR.

Menurut beliau yang terlibat dalam proses penilaian dan pemilihan pengadil bagi tiga edisi Piala Dunia, pengadil tempatan itu cuma mempunyai lesen Pembantu Video Bantuan Pengadil AVAR sekali gus tidak memenuhi kriteria untuk diketengahkan sebagai calon.

“Untuk masa depan, kita ada beberapa lagi calon yang dirasakan berkemampuan tetapi masalahnya mereka juga tiada lesen VAR,” katanya yang ketika ini turut memegang jawatan sebagai Ketua Tenaga Pengajar Pengadil dan Penasihat Pembangunan Pengadil di Persatuan Bolasepak Korea (KFA).

Subkhiddin, 55, merupakan pengadil tempatan terakhir yang bertugas di Piala Dunia pada 2010 di Afrika Selatan sebelum terlibat dalam proses penilaian dan pemilihan pengadil bagi tiga edisi seterusnya.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu berkata dalam konteks Asia, proses pemilihan calon ke Piala Dunia bermula daripada perlawanan tertinggi di peringkat AFC iaitu Liga Juara-Juara AFC.

-Advertisement-

Menurut beliau, kini timbul ura-ura bahawa saingan Liga Juara-Juara AFC bakal menggunakan VAR seawal saingan kumpulan.

Katanya jika perkara itu berlaku maka tertutup peluang buat pengadil tempatan untuk dipilih bertugas kerana tidak mempunyai lesen VAR yang ketika ini berada di bawah seliaan FIFA selepas terdahulu diuruskan Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB).

“Jadi FIFA telah keluarkan arahan tidak rasmi di mana mereka tidak akan berikan lesen kepada negara yang tidak menggunakan VAR. Maksudnya pengadil kita tidak boleh dapatkan lesen di luar negara kerana negara sendiri tiada VAR. Kalau kita nak lesen kita kena mulakan (VAR) di negara sendiri,” katanya.

Pada Mac 2020 FAM melancarkan Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) dengan misi menjadikan pengadil tempatan sebagai penanda aras di Asia dan melihat tiga pengadil tempatan diberi mandat pada kempen Piala Dunia 2026.

Teknologi VAR pertama kali digunakan di Malaysia ketika perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan kelab dari Oman, Al-Seeb di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Sabtu lalu dengan ia dikendalikan sepenuhnya AFC.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) masih memerlukan kajian mendalam sebelum boleh diguna pakai secara meluas.

-BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279