Pengalaman ‘mahal’ di Gua Sireh

Estimate Reading Time: 2 minutes

Dinding gua kelihatan berombak-ombak umpama lukisan tiga dimensi (3D), batu besar berbentuk sireh junjung, formasi stalagmite dan stalaktit berbentuk singa dan perahu patah.

-Advertisement-

Malah, pada dinding nampak seperti orang bertapa dan batu yang berbunyi seperti gong serta lampu berwarna-warni menghiasi gua itu menghidangkan pemandangan yang sungguh mengasyikkan.

Suasana indah mempesona ini disaksikan oleh 25 peserta Terapi Jiwa Alami Gua Sireh, Baling sempena hari kemerdekaan di bawah program anjuran Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA), Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah program, Norzaliza Ghazali berkata, gua adalah terowong semula jadi yang terbentuk ke dalam bukit atau gunung disebabkan fenomena alam seperti hakisan air atau angin.

Terletak di dalam hutan belantara yang menjadi habitat kepada hidupan liar.

“Keunikan gua disebabkan ciri monumen geologi, rupa bumi, landskap, kepelbagaian struktur geologi, batuan, fosil dan mineral mempunyai tarikan yang memberi pengalaman dan menjadi aktiviti lasak digemari pencinta alam untuk diterokai,” ujarnya.

Miliki keistimewaan tersendiri

Gua Sireh terletak di Kampung Padang Cik Mas, Mukim Pulai, Baling, Kedah mempunyai keistimewaan tersendiri.

Keluasan gua mencecah 192 meter lebar dan mempunyai ketinggian antara 60 hingga 80 meter dihiasi lampu neon yang berwarna-warni menghiasi dinding gua cukup mendamaikan.

Mengikut kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia UKM), Gua Sireh ini sudah ada masyarakat terawal yang mendiami gua sejak 16,000 hingga 17,000 tahun lalu kerana terdapat banyak kesan fosil atau kulit kerang dan siput lama yang kelihatan.

“Perjalanan selama dua jam meneroka Gua Sireh ditemani tiga penunjuk arah amat menyeronokkan kerana batu besar berbentuk sireh junjung dengan ketinggian lebih kurang 7 meter menyambut kedatangan peserta,” kongsinya.

Semakin jauh menyelusuri laluan berliku mata melekat pada formasi stalagmite dan stalaktit yang menakjubkan.

-Advertisement-

Ia terjadi hasil daripada titisan air bercampur kalsium yang terbentuk jutaan tahun dahulu. Pastinya peluang merakamkan detik terindah dalam Gua Sireh tidak dilepaskan begitu saja.

Pemandangan menakjubkan

Peserta, Dr Azman Md Zain, berkata aktiviti meneroka dilakukan dengan penuh berhati-hati kerana setiap gua mempunyai pelbagai bentuk, arca semula jadi.

“Antaranya stalaktait dan stalagmait pelbagai bentuk kejadiannya sememangnya indah memukau namun, harus diingat dalam keseronokan melihat kebesaran Allah, keselamatan perlu diutamakan,” katanya.

Bagi menarik pengembara menerokai gua dan di situ pelbagai kemudahan disediakan seperti tangga, laluan, papan tanda, jambatan, dan lampu sekitar gua bagi memudahkan pengunjung memasukinya dan menikmati pemandangan sukar ditemui.

Peserta, Nur Farzana Rejab, berkata Malaysia ada banyak gua menarik untuk diterokai yang menghidangkan keunikan dan cabaran tersendiri memandangkan struktur dalamannya berbeza.

“Teruja kali pertama masuk gua ini. Menakjubkan! saya tidak pernah menyangka di Baling ada gua seindah ini. Semua terpukau memanjatkan syukur,” luahnya.

Sebelum memulakan kembara, mereka mengkaji terlebih dahulu supaya lebih terancang dan bersistematik.

Nur Farzana yang baharu bertugas di SLCP menyifatkan aktiviti membuatkannya lebih mengenali rakan sekerja, selain menyuntik keseronokan bekerja, ceria, cergas dan cerdas.

“Kembara ini membuatkan saya lebih bersemangat dan bersungguh bekerja bersungguh-sungguh. Pengalaman ini terlalu mahal yang akan dikenang seumur hidup” katanya.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427