Perlumbaan senjata nuklear satu kegilaan-PBB

Estimate Reading Time: 2 minutes

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran perlumbaan dalam pembangunan senjata nuklear atom baharu berisiko memberi ancaman kemusnahan kepada dunia.

-Advertisement-

Amaran itu disuarakan Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres ketika Korea Utara mendakwa negaranya berada di ambang perang nuklear.

Guterres turut mendesak diwujudkan semula gerakan bagi mengurangkan yang akhirnya menghapuskan senjata itu, walaupun negara bersenjata nuklear bertindak sebaliknya.

“Kita sedang berhadapan dengan perlumbaan senjata baharu yang membimbangkan… jumlah senjata nuklear boleh meningkat buat kali pertama dalam tempoh beberapa dekad ini.

“Sebarang penggunaan senjata nuklear pada waktu apapun dan di mana sahaja, atau dalam apa juga konteks akan mencetuskan malapetaka kemanusiaan yang besar.

“Senjata nuklear sekali lagi digembar-gemburkan… ini adalah kegilaan. Kita mesti berpatah balik,” katanya pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA), pada hari terakhir sesi tahunannya.

Sehingga kini, Russia dan Amerika Syarikat (AS) mempunyai senjata nuklear terbesar, dengan China mengekori rapat.

Korea Utara juga kini semakin berkembang pesat dengan program nuklearnya dan ujian peluru berpandu berulang.

-Advertisement-

Sebelum ini, Korea Utara dalam ucapannya menuduh musuh ketat AS mendorong negaranya lebih dekat kepada ambang perang nuklear.

Duta Korea Utara ke PBB, Kim Song, mengecam tindakan Korea Selatan di bawah Presiden Yoon Suk Yeol, kerana menjalinkan kerjasama lebih erat dengan AS dan Jepun.

“Disebabkan dasar memalukan yang bergantung kepada kuasa luar, Semenanjung Korea berada dalam situasi yang mencetuskan bahaya terhadap ambang perang nuklear,” katanya.

Ucapan beliau merujuk kepada pembentukan Kumpulan Perundingan Nuklear baru-baru ini.

Melalui pembentukan itu, AS berharap dapat mengintegrasikan kapasiti nuklearnya dengan lebih baik dengan pasukan konvensional Korea Selatan, selain meningkatkan perkongsian maklumat dan pelan kecemasan.

Song mendakwa bahawa kumpulan itu komited dalam perancangan, operasi dan pelaksanaan serangan nuklear peringkat awal terhadap Korea Utara atau nama rasminya Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK).

Sementara itu, seorang wakil diplomat dari Korea Selatan, mengambil kesempatan untuk membantah kenyataan Korea Utara, yang secara rutin menyelar PBB. .
-AFP
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427