Penganggur caj RM20 vaksin COVID-19 ditahan

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki meminta bayaran RM20 bagi urusan vaksinasi COVID-19 yang diberikan percuma oleh kerajaan.

-Advertisement-

Penganggur berumur 61 tahun itu ditahan di Taman Kanak-kanak Pekan Semporna di sini, pada jam 2.35 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata suspek dipercayai menerima bayaran serendah RM20 daripada setiap penerima suntikan vaksin bagi proses yang dijalankan di Dewan Masyarakat Semporna, di sini.

“Siasatan awal polis mendapati setakat ini seramai 16 individu yang mendapat khidmat urusan vaksinasi daripada suspek telah menerima vaksin.

“Modus operandi suspek adalah menawarkan perkhidmatan mendapatkan suntikan vaksin kepada mana-mana orang yang berminat dengan bayaran serendah RM20,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Mohd Farhan menegaskan, polis memandang serius tindakan individu atau kumpulan yang mengambil kesempatan menawarkan sebarang bentuk perkhidmatan bagi mendapatkan suntikan vaksin dengan mengenakan caj atau bayaran.

Katanya, tindakan seumpama itu jelas menyalahi undang-undang kerana suntikan vaksin diberikan secara percuma oleh kerajaan Malaysia.

“Justeru, pihak polis meminta kerjasama orang awam khususnya 16 individu yang berurusan dengan suspek untuk tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -BH