Penganugerahan Ikon Kraf kepada Tunku Azizah naikkan imej kraf negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR- Penganugerahan Anugerah Ikon Kraf 2019 kepada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah oleh Majlis Kraf Dunia (WCC) mampu menaikkan imej industri kraf negara.

-Advertisement-

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Isham Ishak berkata penghormatan itu juga dilihat mampu membuka mata dunia mengenai usaha Malaysia dalam memelihara seni kraf negara.

“Usaha Tunku Azizah selama ini yang aktif mempromosi hasil seni negara merupakan sumbangan yang tidak ternilai.

“Penganugerahan itu mampu menggalakkan lebih ramai masyarakat terutama golongan muda dalam mengekalkan warisan kraf negara yang unik dan pelbagai,” katanya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara (IKN) 2019 di IKN Rawang, dekat sini.

Beliau bekata demikian ketika ditanya mengenai penganugerahan itu yang akan disampaikan pada majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) ketiga di GMR Aerocity, New Delhi pada 7 Dis, semasa Minggu Kraf India dari 4 hingga 8 Dis, menurut laman sesawang WCC.

-Advertisement-

Selain Tunku Azizah, IKN dan Kraf Komuniti Ku (KKK), masing-masing dipilih sebagai Institut/Akademi Kraf Terbaik dan Kampung Kraf Terbaik dalam senarai pemenang anugerah yang dimuatkan dalam laman sesawang Kampung Kraf India, https://www.craftvillage.org.in/home.html.

Susulan kejayaan itu, Isham berkata IKN telah menubuhkan Pusat Kecemerlangan dengan jenama baharu dipanggil ‘KrafSkills’.

Melalui pusat itu, beberapa program baharu yang lebih dinamik diwujudkan seperti Craft Creative Studio (CCS), inovasi dan penyelidikan serta peningkatan aktiviti kemahiran kraf.- BERNAMA