Penjual didakwa memiliki ketamin

Estimate Reading Time: < 1 minute

PORT DICKSON: Seorang pembantu kedai vape didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki cecair disyaki dadah jenis ketamin, bulan lalu.

-Advertisement-

Tertuduh, Puveendran, 25, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di depan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, Puveendran didapati dalam milikannya cecair disyaki dadah berbahaya jenis ketamin dengan anggaran berat 570 mililiter.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 29 September lalu kira-kira jam 7 malam di Lukut Prima, Port Dickson.

-Advertisement-

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) seksyen sama yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diberi jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes 4 Disember ini.
-BeritaHarian