Perincian vaksinasi remaja 12-17 tahun diumum minggu depan – Khairy

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Perincian berhubung pelaksanaan vaksinasi kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negara ini akan dibuat minggu depan.

-Advertisement-

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata ia susulan surat pekeliling dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berhubung perkara itu semalam.

“Sebagaimana yang dinyatakan dalam surat pekeliling oleh Dr Noor Hisham, satu pengumuman akan dibuat minggu depan oleh JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19).

“Ia (pengumuman itu) mengenai bagaimana vaksinasi COVID-19 untuk remaja akan dilaksanakan mengikut pekeliling (yang dikeluarkan) Dr Noor Hisham serta garis panduan klinikal terkini,” katanya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham melalui pekeliling berkenaan, memaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan untuk memperluaskan PICK dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, bergantung kepada bekalan vaksin.

-Advertisement-

Remaja terbabit akan dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu berusia 12 hingga 15 tahun yang ada masalah kesihatan tertentu, selain individu berusia 16 dan 17 tahun dengan atau tanpa mempunyai masalah kesihatan tertentu.

Dr Noor Hisham berkata, remaja yang mempunyai masalah kesihatan tertentu perlu menjalani penilaian pravaksinasi oleh pegawai atau pakar perubatan berdasarkan status kesihatan semasa, sejarah perubatan, sejarah alergik serta rawatan atau ubatan yang sedang diterima.

-BH