PETRONAS komited bekerjasama dengan kerajaan Sarawak

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: PETRONAS kekal komited untuk bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak ke arah persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil serta kondusif.

-Advertisement-

Syarikat minyak dan gas nasional itu berkata, kedua-dua pihak mempunyai kesepakatan bagi pertumbuhan yang mampan untuk industri minyak dan gas di negeri itu.

“PETRONAS berterusan berunding dengan kerajaan negeri (Sarawak) dalam rangka kerja yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang dimeterai pada 7 Disember 2020.

“Kedua-dua pihak akan bersama membincangkan serta mempertimbangkan perkara berkenaan industri minyak dan gas dan yang berkaitan kepentingan negeri,” katanya kepada BH.

PETRONAS berkata demikian bagi mengulas laporan media bahawa Sarawak menuntut enam telaga minyak dan gas yang ditemui syarikat minyak dan gas berkenaan di perairan wilayah negeri itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata bahawa Sarawak mempunyai hak terhadap telaga minyak terbabit mengikut Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

-Advertisement-

Beliau berkata, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg akan mengadakan pertemuan dengan PETRONAS dalam tempoh terdekat bagi membincangkan tuntutan itu.

Pada Julai lalu, PETRONAS Carigali Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PETRONAS mengumumkan enam penemuan minyak dan gas (O&G) di lima blok di luar pantai Sarawak.

Penemuan itu membabitkan telaga Gedombak di Blok SK306 dan Mirdanga di Blok SK411 (di wilayah Balingian), Sinsing di Blok SK313, telaga Machinchang dan Pangkin di Blok SK301B, dan telaga Kalung Emas di Blok SK315 (di wilayah West Luconia).

PETRONAS berkata, penemuan itu diperoleh berikutan aktiviti penggerudian penerokaan domestik intensif yang dimulakan pada penghujung tahun lalu yang turut membawa kepada penemuan Nahara-1 pada tahun itu di Blok SK306 sekali gus menjadi penemuan minyak penting oleh PETRONAS Carigali dalam dekad yang lalu.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373