PJM MADANI Alor Gajah Salur Manfaat Komuniti Bernilai Lebih RM312,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR GAJAH 16 Ogos 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly bin Zahari, menyempurnakan Program Jiwa Murni MADANI (PJM) Daerah Alor Gajah di Padang Awam Kampung Gadek yang menjadi platform Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperkukuh hubungan dengan masyarakat menerusi aktiviti kemasyarakatan serta khidmat komuniti.

Menerusi program tersebut, sebanyak lima projek komuniti bernilai RM179,200 telah dilaksanakan oleh 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (9 Skn RAJD), Tentera Darat Malaysia (TDM) di sekitar daerah Alor Gajah.

Selain itu, cek cura Inisiatif Pusat Khidmat berjumlah RM133,000 turut disampaikan kepada lapan penerima manfaat, manakala sebanyak 500 Bakul RAHMAH disediakan untuk diagihkan kepada persatuan veteran ATM dan penduduk setempat.

Penganjuran PJM MADANI berkenaan mencerminkan usaha MINDEF dan ATM mendekati masyarakat menerusi pendekatan turun padang yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti, selain memperkukuh kesejahteraan serta hubungan awam-tentera.

-Advertisement-

Inisiatif tersebut turut selaras dengan aspirasi Teras 4 Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang memberi penekanan terhadap pengukuhan hubungan antara institusi pertahanan dengan masyarakat serta kesejahteraan komuniti.

Turut hadir Ketua Pengarah Bahagian Kerohanian Islam ATM, Mejar Jeneral Dato’ Haji Mohd Rashidi bin Bujai; Ketua Pengarah Pergigian Markas PMBTD, Brigedier Jeneral (Dr) Zabidi bin Mohd Taha; Timbalan Ketua Pengarah JHEV ATM, Encik Sophian Isswandy bin Ismail; dan Pengarah Operasi Jabatan Arah Jurutera, Kolonel Norhisham bin Hasan. – The Capital Post