IPOH 16 Ogos 2026 (The Capital Post) – Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2026 Zon Semenanjung Sidang 1 berlangsung di Dewan Seri Perdana, ILKKM Sultan Azlan Shah, Perak, dengan graduan diseru memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan kesihatan negara.
Istiadat tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, yang turut menekankan bahawa perkembangan ilmu kesihatan, perubahan teknologi serta peningkatan jangkaan masyarakat memerlukan tenaga kerja kesihatan yang sentiasa bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan.
Konvokesyen ILKKM tahun ini melibatkan keseluruhan 6,987 graduan daripada tiga zon, iaitu 924 graduan di Zon Sabah, 946 graduan di Zon Sarawak dan 5,117 graduan di Zon Semenanjung.
Mengangkat tema “Graduan ILKKM Tonggak Reformasi Kesihatan MADANI”, konvokesyen berkenaan turut menekankan kepentingan kerjasama antara warga kesihatan tanpa mengira bidang atau kepakaran bagi memastikan tanggungjawab melindungi kesihatan rakyat dapat dilaksanakan secara berkesan.
-Advertisement-
Dalam amanatnya, Ketua Pengarah Kesihatan turut menitipkan tiga nilai utama kepada para graduan, iaitu sentiasa mengutamakan keselamatan, membudayakan pembelajaran dan ilmu pengetahuan serta mengekalkan nilai ihsan ketika melaksanakan tugas walaupun berdepan tekanan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh graduan ILKKM dan berharap mereka terus menjaga martabat profesion kesihatan serta menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat dan negara. – The Capital Post