PM arah segerakan kerja baik pulih bencana Baling

Estimate Reading Time: 2 minutes

Baling: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan segala kerja baik pulih dan pembinaan semula infrastruktur yang rosak akibat bencana banjir lumpur serta aliran puing di Kampung Iboi, disiapkan segera demi kesejahteraan rakyat.

-Advertisement-

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memastikan semua janji yang diumumkan sebelum ini, dilaksana terutamanya yang membabitkan pembinaan semula rumah mangsa banjir.

Jelasnya, kerajaan tidak boleh hanya berjanji ketika rakyat ditimpa musibah, namun perkara yang dijanjikan itu tidak dilaksana atau mengambil masa terlalu lama untuk ditunaikan.

“Kehadiran saya ke Baling hari ini, adalah untuk melihat pelaksanaan segala janji dibuat kerajaan dilaksana bagi menyelesaikan masalah akibat bencana banjir lumpur dan aliran puing yang berlaku khususnya di Kampung Iboi pada 4 Julai lalu.

“Dalam tinjauan saya, kita putuskan untuk meluluskan peruntkan RM10 juta bagi membina jambatan konkrit di Kampung Iboi yang roboh sebelum ini bagi menggantikan jambatan Bailey sementara ketika ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

-Advertisement-

Terdahulu, Ismail meluangkan masa hampir dua jam meninjau lokasi bencana di Kampung Iboi dan menemui penduduk yang terjejas dalam kejadian itu.

Beliau berkata, sejumlah 17 titi di kawasan kampung yang rosak akibat bencana itu turut akan diganti atau dibaik pulih membabitkan kos keseluruhan RM4.8 juta.

“Setakat ini, sejumlah 20 rumah bagi mangsa banjir sedang dalam pembinaan di Desa KEDA Sadek dan dijangka lapan daripadanya dapat siap pada 5 Oktober ini bagi diserahkan kepada penduduk yang terpaksa menyewa ketika ini.

“Pada masa sama, kita dapati 17 rumah penduduk yang berdekatan sungai turut perlu dipindahkan ke tapak baharu kerana berbahaya membabitkan kos RM3 juta,” katanya.

Dalam kejadian 4 Julai lalu, bencana aliran puing dan banjir lumpur melanda Kampung Iboi serta kawasan sekitarnya mengakibatkan lebih 1,000 penduduk terjejas selain mengorbankan nyawa tiga mangsa.– Harian Metro


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279