‘PM berkempen di sebalik acara rasmi’ – penganalisis berbeza pandangan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis politik melihat kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika ini telah berkempen di sebalik acara rasmi yang diadakan.

-Advertisement-

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan, bagaimanapun berkata, sekiranya tidak diadakan acara rasmi itu, aktiviti kerajaan tidak akan berlangsung.

“Walaupun Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, telah menyatakan jangan gunakan jentera kerajaan untuk berkempen tetapi masalahnya kerajaan sekarang ini memang berkempen tetapi mereka berkempen di sebalik acara rasmi.

“Jadi, boleh ditakrifkan juga sebagai berkempen. (Tetapi) kalau tidak diadakan acara rasmi maka tak berjalan aktiviti kerajaan.

“Ini adalah sesuatu yang memang lazim berlaku dalam senario politik tempatan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Besut Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dilaporkan berkata, Anwar tidak sepatutnya memberi keutamaan kepada program bertemu mahasiswa universiti ketika ini.

Beliau berkata, Anwar yang merupakan Menteri Kewangan sepatutnya memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keadaan ekonomi negara.

Che Mohamad Zulkifly berkata, program bertemu mahasiwa boleh dilihat orang ramai sebagai kempen politik secara terbuka di universiti, yang diadakan bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

-Advertisement-

Semalam, Fahmi mengingatkan pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) tidak sesekali menggunakan jentera kerajaan bagi berkempen untuk parti politik dalam PRN akan datang.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, agak sukar untuk kerajaan menjelaskan mengenai perkara seperti ini dan pihaknya mencadangkan agar acara rasmi dikurangkan disebabkan negara akan berhadapan dengan enam PRN dalam masa terdekat.

“Seboleh-bolehnya acara rasmi ini dikurangkan walaupun ketika ini kempen belum bermula lagi,” katanya.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, pula berpandangan sebaliknya dengan menyifatkan acara rasmi yang dihadiri oleh Anwar dan menyentuh mengenai isu semasa seperti politik dalam majlis itu bukan merupakan satu isu.

“Kecuali kalau dia (Anwar) gunakan betul-betul jentera kerajaan untuk berkempen dan sebagainya. Maksudnya secara terus untuk PRN. Itu nampak macam tak betul.

“Tapi dalam konteks ini, saya rasa dia pergi ke majlis-majlis yang disusun oleh kerajaan, itu tak ada masalah,” katanya.

– BH