Polis Pahang siap siaga pastikan keselamatan PRK Pelangai terjamin

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Polis Pahang bersiap sedia daripada segi jumlah keanggotaan dan aset jika Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai, di Bentong diadakan.

-Advertisement-

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata ketika ini, pihaknya menunggu keputusan tarikh penamaan calon dan pengundian daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Polis Kontinjen Pahang siap sedia pada tarikh berkenaan jika PRK diadakan.

“Persediaan ini membabitkan jumlah keanggotaan dan aset untuk memastikan keselamatan di PRK berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam di sini, hari ini.

Sebelum ini, Noor Hisam Nordin adalah Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Hari ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun.

-Advertisement-

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli pada jam 11.20 pagi, di Wisma Sri Pahang di sini.

Zamree berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada ibu pejabat SPR di Putrajaya mengenai notis berkenaan.

“Ibu pejabat SPR dijangka mengadakan mesyuarat khas minggu ini bagi menetapkan tarikh penting bagi PRK Pelangai,” katanya.

SPR perlu mengadakan PRK dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kerusi itu.

Khamis lalu, penyandang DUN Pelangai, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Allahyarham Johari yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang adalah seorang tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373