PONTIAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai bermula hari ini dengan proses penamaan calon pada jam 9 pagi.
Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini menjadi lokasi pusat penamaan calon bagi PRK kesembilan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu.
Pada PRK kali ini, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, sebagai calonnya untuk mempertahankan kerusi terbabit.
Sementara itu, Barisan Nasional (BN) akan mempertaruhkan bekas penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, 55, sebagai ‘ayam tambatan’ mereka.
Selain dua parti ini, turut dijangka mengetengahkan calonnya adalah GERAKAN, bekas parti komponen BN, yang mengumumkan untuk keluar parti sejurus kekalahan BN pada PRU14.
Calon pilihan GERAKAN ialah seorang peguam dan akauntan bertauliah yang juga Timbalan Setiausaha Agung Nasional merangkap Naib Ketua Wanita Nasional parti itu, Wendy Subramaniam, 38 tahun.
Di samping tiga parti itu, PRK kali ini juga nampak menarik kerana Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) juga sudah mengesahkan semalam untuk meletakkan calon iaitu Presidennya sendiri, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.
Turut dijangka bertanding adalah seorang calon Bebas yang mewakili Gabungan Teksi Semalaysia (GTSM), Datuk Shamsubahrin Ismail.
Tempoh pencalonan adalah selama sejam, diikuti dengan pengumuman senarai calon yang akan bertanding oleh pegawai pengurus pilihan raya, Zulkifly Mohd Tahir, pada kira-kira jam 11 pagi.
Sehingga semalam, 27 set borang pencalonan sudah dijual oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada parti-parti utama dan individu.
PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada BERSATU yang mewakili PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.
Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi. – BERNAMA