PRN: Pemuda cadang 30 peratus calon BN dibarisi orang muda

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Pemuda Barisan Nasional (BN) mencadangkan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan calon yang akan mewakili gabungan itu pada pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi dibarisi orang muda.

-Advertisement-

Timbalan Pengerusinya, Mohd Hairi Md Shah, berkata kuota yang akan diminta itu sama seperti permohonan pihaknya sebelum ini iaitu ketika berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda UMNO, berkata cadangan itu bukan bertujuan meminggirkan orang lama, sebaliknya dibuat demi bagi masa depan golongan berkenaan dan anak-anak mereka.

“Rakyat melihat dan menilai kepemimpinan masa kini. Oleh kerana itu, ‘seat’ (kerusi) untuk Pemuda termasuk Puteri harus diketengahkan untuk menjamin masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Jualan Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) di Pasar Tani Kekal Jalan Datin Halimah, Larkin di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohd Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, berkata, pihaknya sudah bertemu dengan jentera Pemuda dari enam negeri yang akan terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023 baru-baru ini.

-Advertisement-

Pertemuan itu, katanya, bertujuan membincangkan persiapan menghadapi PRN.

Dalam pada itu, beliau menafikan Pemuda BN akan berdepan kesukaran untuk bekerjasama dengan Pemuda Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin itu berkata, sebaliknya kedua-dua pihak akan bekerja dalam satu pasukan bagi memastikan kejayaan meskipun sebelum ini adalah seteru politik.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373