Projek naik taraf 436 klinik KKM selesai akhir 2023

Estimate Reading Time: < 1 minute

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Kesihatan (KKM) yakin dapat menyelesaikan semua projek naik taraf membabitkan 436 klinik daif di seluruh negara penghujung tahun ini.

-Advertisement-

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, berkata projek naik taraf membabitkan peruntukan berjumlah RM100 juta itu sudah bermula dan ada beberapa projek telah disiapkan.
“Untuk tahun ini, 436 klinik dikenal pasti untuk dinaik taraf dan KKM akan memastikan semua projek disiapkan dalam tahun ini, seterusnya memberi keyakinan kepada Perdana Menteri meluluskan peruntukan untuk tujuan sama tahun hadapan.

“Kalau ada penjimatan daripada projek yang dikenal pasti ini, KKM akan menambah beberapa lagi klinik daif untuk dinaik taraf,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Kesihatan Bandar Perda di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan kemudahan dan infrastruktur kesihatan adalah agenda yang perlu diberi perhatian kerana keperluan dan kehendak masyarakat terutama permintaan kepada akses kesihatan yang lebih baik sentiasa meningkat.

Dr Zaliha berkata, KKM komited melaksanakan amanah menyediakan kemudahan dan infrastruktur fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“Di Pulau Pinang, selain projek Klinik Kesihatan Bandar Perda dalam Daerah Seberang Perai Tengah ini, KKM dan Jabatan Kerja Raya giat menyiapkan dua lagi klinik kesihatan iaitu Klinik Kesihatan Air Putih di dalam Daerah Barat Daya dan Klinik Kesihatan Bandar Tasek Mutiara di dalam Daerah Seberang Perai Selatan yang masing-masing dengan kos RM30 juta.

-Advertisement-

“Melalui pengumuman Belanjawan 2023, kerajaan juga meluluskan peruntukan RM54 juta bagi membina Klinik Kesihatan dan Kuarters Integrasi Mak Mandin dalam Daerah Seberang Perai Utara,” katanya.

Katanya, usaha itu dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat penjagaan kesihatan asas dan seterusnya membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerana rawatan awal dan ringan dapat dibuat di klinik kesihatan terlebih dahulu.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan untuk Klinik Kesihatan Bandar Perda sebanyak RM150,000 bagi kerja naik taraf dan pembaikan serta pembelian peralatan perubatan dan bukan perubatan.
–BERNAMA

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373