PRU-15 lebih awal jika GRS menang di Sabah – PM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BELUD: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pilihan Raya Umum ke-15 boleh diadakan lebih awal jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

-Advertisement-

Muhyiddin berkata, PRN Sabah penting kerana ia penentu masa depan negara, khususnya kepada rakyat Sabah.

“Di peringkat nasional kita belum putuskan bila mahu adakan pilihan raya… tetapi di Sabah kalau kita sudah menang… kita cepat-cepatlah adakan pilihan raya di peringkat pusat.

“Apa yang penting PRN Sabah ini, adalah isyarat yang kita dapat diperolehi sama ada rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) atau rakyat mahu saya menjadi Perdana Menteri kerana kita mahu Malaysia bergerak maju ke hadapan dan kita mahu Malaysia berjaya. Salah satu cara untuk berjaya adalah terus bersama saya,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Perdana Menteri dengan penduduk tempatan di sini, hari ini.

Acara itu turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Fairuz Renddan dan calon Barisan Nasional (BN) kerusi Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, rakyat Sabah perlu memastikan GRS menang dalam PRN Sabah supaya kerajaan negeri sehaluan dengan Kerajaan Pusat.

“Keputusan ada di tangan rakyat Sabah… kalau ada pilihan untuk membentuk kerajaan baharu… jangan lagi pilih Parti Warisan Sabah (WARISAN) kerana Pakatan Harapan (PH) sudah tiada dan tidak lagi memerintah negara.

-Advertisement-

“Takkan rakyat Sabah masih mahu pilih pembangkang dalam keadaan yang begitu kritikal ketika ini, dengan ekonomi merundum kerana COVID-19. Sebab itu situasi sukar ini kita perlu atasi dan sebab itu kita perlu kerajaan sehaluan,” katanya.

Beliau berkata pemulihan ekonomi negara perlu dilakukan secara bersama oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Walaupun kita terbaik dalam menangani COVID-19 tetapi kita tidak mahu nanti negara kita akan jadi yang terburuk dalam pemulihan akibat penularan COVID-19.

“Sekiranya kerajaan Sabah ini diterajui oleh GRS selepas PRN Sabah pada 26 September ini, saya berjanji akan membantu Sabah untuk memulihkan ekonomi seperti sebelum penularan COVID-19 atau lebih baik daripada itu,” tambahnya.

– BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373