PSM optimis pertahan emas antara regu Sukan Asia

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) optimis skuad negara mampu mempertahankan pingat emas yang dimenangi dalam acara antara regu pada edisi lalu apabila beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September depan.

-Advertisement-

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, ia berdasarkan prestasi semasa barisan pemain negara yang menampilkan aksi terbaik di Sukan SEA Kemboja, bulan lalu.

Katanya, kemungkinan besar 70 hingga 80 peratus pemain yang beraksi di Kemboja akan dikekalkan namun, pemilihan akhir pemain akan ditentukan oleh barisan kejurulatihan negara.

“Di Sukan Asia Hangzhou, ada tiga acara dipertandingkan namun skuad lelaki akan menyertai acara regu dan regu berpasukan sahaja manakala skuad wanita pula akan menyertai acara regu dan quadron.

“Pada Sukan Asia di Palembang (Indonesia), kita berjaya meraih emas dalam acara regu dan kali ini kita yakin dapat mempertahankan pingat itu. Kita ada peluang cerah biarpun berjumpa Thailand di pentas final.

“Semasa Sukan SEA bulan lalu, kita menang dengan regu utama mereka dalam acara berpasukan namun, ketika itu nasib tak menyebelahi kita untuk regu berikutnya. Di Sukan Asia nanti, kita akan berusaha lebih keras.

-Advertisement-

“Saya juga ingin maklumkan bahawa kita bersedia untuk jumpa (menentang) siapa sahaja termasuk Thailand sekiranya mereka mengambil keputusan untuk menyertai acara regu nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pemilihan atlet ke temasya Sukan Asia Sukan Asia di Hangzhou, di sini, hari ini.

Pada edisi 2018 di Palembang, skuad negara menerusi acara antara regu menamatkan kemarau emas selama 24 tahun Malaysia selepas menumbangkan pasukan tuan rumah, Indonesia 2-1 di pentas final.

Skuad negara ketika itu dibarisi Syahir Rosdi (tekong), Zulkifli Abdul Razak (tekong), Norhafizi Abdul Razak (apit kanan), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan).

Mohd Sumali berkata, sepak takraw akan menyertai Sukan Asia Hangzhou atas tiket Kategori A untuk skuad lelaki manakala untuk skuad wanita masih belum diputuskan dan senarai nama pemain akan dihantar pada 15 Julai depan.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373