Public Bank tingkat langkah keselamatan bendung ‘scam’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Public Bank terus mempertingkatkan langkah keselamatan untuk mengekang pelbagai modus operandi terhadap ‘scam’ dan penipuan, satu daripadanya membabitkan sindiket haram yang menawarkan kadar faedah rendah bagi pinjaman melalui platform media sosial.

-Advertisement-

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani scam dan penipuan.

“Pelanggan diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil tahu mengenai pelbagai modus operandi ‘scam’ dan penipuan yang sedang berleluasa.

“Pelanggan boleh mengetahui mengenai pelbagai modus operandi ‘scam’ dan penipuan melalui https://www.pbebank.com/onlinesecurity/index.html.

“Public Bank tidak meminta maklumat perbankan yang sensitif, fi pendahuluan untuk dibayar dalam akaun peribadi atau menawarkan jaminan kelulusan yang dapat menarik perhatian peminjam-peminjam tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelanggan dinasihatkan supaya tidak melayani iklan yang menawarkan pinjaman melalui platform media sosial, sebaliknya mereka dinasihatkan supaya mengesahkan tawaran dalam iklan itu dengan institusi kewangan yang sah sebelum membuat permohonan.

-Advertisement-

“Sementara itu, Public Bank telah melaksanakan lima langkah penting yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengekang penipuan kewangan dan menggalakkan pelanggan untuk menjaga kerahsiaan butiran perbankan mereka apabila membuat urus niaga perbankan dalam talian.

“Public Bank akan terus memastikan ia berada di hadapan dari segi amalan terbaik keselamatan dan akan terus melabur dalam sistem keselamatan perbankan untuk memberi keselamatan perbankan yang utuh kepada pelanggannya yang juga akan sentiasa dibekalkan dengan maklumat,” katanya.

Sekiranya pelanggan menyedari kejanggalan dalam akaun bank mereka atau mengesyaki berlaku aktiviti penipuan, mereka boleh menghubungi Talian Hotline Pengurusan Kes, Sokongan Digital yang beroperasi selama 24 jam melalui 03-2177 3555 atau Pusat Respons Scam Kebangsaan melalui 997 antara 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373