Raja Sepanyol pilih calon Parti Popular bentuk kerajaan

Estimate Reading Time: < 1 minute

OVIEDO: Raja Sepanyol, Raja Felipe VI semalam memilih calon daripada Parti Popular, Alberto Nunez Feijoo, untuk membentuk kerajaan negara ini.

-Advertisement-

Baginda berdepan situasi belum pernah berlaku sebelum ini apabila terpaksa memilih antara dua calon yang masing-masing mendakwa mampu mengumpul sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, lapor Agensi Anadolu.

Selain Feijoo, seorang lagi calon terbabit ialah pemimpin Parti Socialist yang juga Pemangku Perdana Menteri, Pedro Sanchez.

Raja Sepanyol dalam satu kenyataan bertitah, tiada calon yang mempunyai sokongan majoriti buat masa ini.

Walaupun Parti Sosialis berjaya memperoleh majoriti undi dalam pemilihan calon Speaker Dewan pada minggu lalu, Raja Felipe VI sebaliknya memilih calon konservatif.

Baginda bertitah, pemilihan itu adalah mengikut tradisi selepas Parti Popular memenangi undi terbanyak pada pilihan raya umum (PRU) Julai lalu, walaupun undang-undang Sepanyol tidak menetapkan calon yang memenangi undian terbanyak perlu diberikan peluang pertama untuk membentuk kerajaan.

Lebih 33 peratus pengundi Sepanyol mengundi Feijoo, berbanding 32 peratus mengundi Sanchez.

-Advertisement-

Bagaimanapun, Feijoo dijangka berdepan laluan bukan mudah untuk meraih sokongan majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Sekiranya peralihan politik yang besar tidak berlaku dan Feijoo gagal menarik lebih banyak sokongan daripada parti wilayah, maka sokongan sayap kanan serta sekutu tradisional lain saja adalah tidak mencukupi.

Jika percubaan Feijoo untuk membentuk kerajaan tidak berjaya, Raja boleh memilih calon lain untuk membentuk kerajaan.

Namun sekiranya semua percubaan itu gagal, ketidakstabilan politik akan kembali membelenggu Sepanyol dan pengundi terpaksa mengundi semula.

– BERNAMA-ANADOLU

– BH