Ramai mangsa banjir pilih bantuan secara tunai – MB Selangor

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Penerima bantuan banjir bagi daerah Klang diberi pilihan, sama ada menerima bantuan secara tunai atau pemindahan dana elektronik (EFT), kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

-Advertisement-

Bagaimanapun, beliau berkata sebahagian besar pemohon bantuan itu tetap memilih secara tunai.

“Saya mengambil maklum mengenai maklum balas ramai mengenai pemohon bantuan banjir yang beratur panjang semalam.

“Pihak Pejabat Daerah Tanah (PDT) Klang memberi pilihan kepada pemohon sama ada menerima tunai atau
EFT ke dalam akaun bank mereka. Namun majoriti pemohon memilih untuk datang mengambil tunai dan ini menyebabkan barisan panjang di tempat disediakan.

“Keadaan menjadi sukar dikawal berikutan majoriti penduduk memilih hadir lebih awal berbanding masa ditetapkan melalui Sistem pesanan ringkas (SMS) yang mereka terima, menyebabkan pemohon hadir beberapa jam lebih awal daripada waktu janji temu ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

-Advertisement-

Sebelum ini, dilaporkan orang ramai dilihat beratur panjang sejauh kira-kira dua kilometer di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kota Kemuning, Seksyen 23, di sini untuk mendapatkan bantuan itu.

Sehubungan itu, Amirudin memohon pemohon yang masih belum menerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) menepati waktu janji temu yang ditetapkan melalui SMS yang dikirim kepada pemohon secara terus.

“Hadirlah pada hari dan masa yang diberi. Insya-Allah dengan kerjasama dan persefahaman semua pihak, penyaluran BSB akan menjadi lebih lancar dan selesai mengikut tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

-BH