RHB sasar pembiayaan hijau RM1 bilion

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group menyasar untuk menyalurkan sehingga RM1 bilion menerusi Program Pembiayaan Lestari (SFP), produk pembiayaan hijau yang disasarkan kepada pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta runcit.

-Advertisement-

Empat teras SFP yang merangkumi tenaga hijau, bangunan hijau, proses hijau dan produk hijau akan menggalakkan pembangunan lestari serta menyokong peralihan negara ke arah ekonomi karbon rendah menerusi penyelesaian pembiayaan hijau yang mengintegrasikan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

SFP menggunakan pendekatan lebih holistik ke arah pembiayaan hijau, menangani keperluan perniagaan dan indvidu menerusi pelbagai penyelesaian hijau.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata SFP melengkapi komitmen pembiayaan hijau sedia ada kumpulan serta menyokong aspirasi negara untuk beralih kepada ekonomi karbon rendah dan berdaya tahan iklim.

“Kami menyasarkan sejumlah RM1 bilion pembiayaan baharu menerusi SFP RHB menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

Pelanggan akan memperoleh manfaat daripada kadar lebih baik dan tempoh pinjaman lebih panjang, selain menikmati insentif cukai berkaitan di bawah Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) menerusi penyelesaian SFP.

Pelanggan PKS boleh memohon kemudahan pembiayaan bagi tenaga boleh diperbaharui, pembinaan, modal kerja dan perbelanjaan modal dengan jumlah pembiayaan sehingga RM10 juta untuk tempoh sehingga 15 tahun, dengan margin tinggi serta kadar yang kompetitif.

-Advertisement-

Pelanggan runcit pula boleh menikmati pembiayaan peribadi bagi pembelian panel solar bernilai sehingga RM100,000 dengan margin 100 peratus, untuk tempoh maksimum tujuh tahun pada kadar yang menarik.

Di bawah program pembiayaan peribadi, pelanggan ditawarkan polisi insurans semua risiko pada kadar premium menarik, yang mana mereka akan dilindungi daripada kerosakan seperti kebakaran, ancaman khas dan kemalangan.

Pelanggan juga boleh menikmati kadar pembiayaan serendah 1.99 peratus bagi kenderaan hibrid, ‘plug-in’ hibrid dan elektrik merangkumi semua tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun dengan kemudahan maksimum RM500,000.

Pelanggan turut layak mendapat diskaun tambahan sehingga 10 peratus premium insurans apabila mereka memilih untuk membeli insurans motor kenderaan hibrid, ‘plug-in’ hibrid dan elektrik dengan RHB Insurance.

Setakat 31 Mei 2021, komitmen pembiayaan hijau kumpulan mencecah RM3.25 bilion, yang mana kira-kira 20 peratus adalah membabitkan projek tenaga boleh diperbaharui. -BH