Ringgit mengukuh menjelang data inflasi di AS

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 31 Mar 2023 (The Capital Post): Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lemah pada Jumaat sebelum data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) teras AS dikeluarkan lewat hari ini, kata penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4120/4170 berbanding dolar AS daripada 4.4185/4225 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.48 peratus kepada 102.144 dalam tempoh semalaman.

Beliau berkata, ini ekoran kekurangan hala tuju pasaran selain pelabur menunggu lebih banyak pemacu selepas dua petunjuk ekonomi utama di AS amat hampir mencapai jangkaan.

“Nampaknya angka makro semakin lemah di AS yang akan mengukuhkan pendirian cenderung kepada kadar faedah rendah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada masa hadapan. Malam ini kita akan menyaksikan kadar inflasi PCE teras, yang merupakan ukuran inflasi pilihan Fed, diumumkan.

“Konsensus menjangkakan PCE teras boleh kekal pada 4.7 peratus tahun ke tahun pada Februari. Sekiranya kadar inflasi berubah kepada lebih rendah, ia boleh menyebabkan dolar AS yang lebih lemah selepas ini,” katanya kepada Bernama.

Bacaan akhir untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK ) AS bagi suku keempat 2022 dilaporkan berada pada kadar tahunan 2.6 peratus berbanding jangkaan pasaran pada 2.7 peratus.

Sementara itu, pasaran buruh AS sedikit lemah dengan tuntutan pengangguran awal meningkat kepada 198,000 minggu lepas daripada 191,000 pada minggu sebelumnya.

Di peringkat tempatan, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

-Advertisement-

Ringgit susut berbanding pound British kepada 5.4704/4766 daripada 5.4533/4582 ketika ditutup pada Khamis; dan rendah berbanding euro kepada 4.8157/8212 daripada 4.7985/8028.

Walau bagaimanapun, unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3113/3153 daripada 3.3282/3315 sebelumnya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara-negara ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3228/3271 daripada 3.3244/3279 pada penutupan semalam; serta naik berbanding peso Filipina kepada 8.11/8.12 daripada 8.12/8.13 selain tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 293.20/293.60 daripada 293.60/294.00.

Walau bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.9229/9428 daripada 12.8970/914722 semalam.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)