Ringgit susut nilai berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 29 Nov 2022 (The Capital Post): Nilai ringgit menyusut sedikit daripada kenaikan yang dicatatkan minggu lalu dan dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, dipengaruhi oleh pengukuhan nilai dolar AS selain kemerosotan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

-Advertisement-

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5000/5100 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.4795/4890.

Pasaran ditutup semalam sempena cuti khas yang diumumkan oleh Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis minggu lalu.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata peniaga dilihat mencari perlindungan dengan mendapatkan dolar (mata wang selamat) di tengah-tengah kebimbangan kemelesetan global, sementara menunggu ucapan pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell mengenai kenaikan kadar pada hari Rabu.

“Permintaan untuk dolar AS bermula selepas Rizab Persekutuan pada Isnin menukar nada dan cenderung terhadap kenaikan kadar faedah, ” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Innes berkata harga minyak kekal tidak menentu ekoran berita yang kian meluas antara menambah dan mengurangkan bekalan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah Brent turun 0.46 peratus kepada AS$82.81.

-Advertisement-

Pada sesi pembukaan, ringgit diniaga bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Nilai mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2628/2705 daripada 3.2573/2645 pada penutup Jumaat dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.2425/2500 daripada 3.2118/2188.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3852/3971 daripada 5.4094/4209 dan meningkat berbanding euro kepada 4.6530/6633 daripada 4.6551/6650 minggu lalu.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279