RM40 juta latih lepasan sekolah sertai bidang perkilangan, pembuatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM40 juta bagi program Academy in Industry (AiI) sehingga akhir tahun ini bagi melatih 10,000 pekerja daripada lepasan sekolah menengah untuk bekerja dalam bidang perkilangan dan pembuatan.

-Advertisement-

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata masalah peluang pekerjaan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah salah satu masalah struktur ekonomi negara.

Katanya, akibat kurangnya minat daripada golongan muda untuk menyertai aliran pekerjaan ini menyebabkan masalah berganda kepada ekonomi Malaysia.

“Ia termasuklah pergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dalam bidang perkilangan dan pembuatan dan masalah pengangguran dalam kalangan golongan muda.

“Menerusi program ini, golongan muda boleh terus bekerja dan menikmati gaji sama seperti pekerja yang lain yang mana secara purata mereka akan menerima kira-kira RM2,000 sebulan.

“Bagi memudahkan urusan mereka, kerajaan akan menawarkan elaun perpindahan sebanyak RM1,500 kepada golongan muda supaya mereka tidak dibebankan dengan kos membayar deposit rumah sewa dan perpindahan dari kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan program berkenaan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Pada majlis itu, Rafizi turut menyampaikan tauliah kepada 200 syarikat pertama yang menyertai program AiI yang membolehkan mereka mengambil pekerja tempatan menggantikan pekerja asing sedia ada.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, selain elaun perpindahan, pekerja berkenaan juga akan diberi elaun tambahan RM1,000 jika kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan.

“Selepas 18 bulan ini, mereka juga akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM). Ini berbeza berbanding pendekatan sedia ada yang memerlukan kelulusan kursus TVET sepenuh masa selama 24 bulan sebelum mereka boleh mencari pekerjaan.

“Kerajaan turut menawarkan insentif sebanyak RM1,500 kepada syarikat mengambil bahagian bagi setiap seorang pekerja yang berjaya kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan,” katanya.

Tambah Rafizi, AiI memberi tumpuan untuk membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal tanpa perlu mempunyai kelayakan TVET terlebih dahulu kerana mereka akan dilatih dan disijilkan semasa bekerja melalui konsep ‘place and train’.

Pendekatan baharu berkenaan mengambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas alam persekolahan, katanya.

Sementara itu, Sivakumar dalam ucapannya berkata, AiI adalah program yang dibangunkan secara berstruktur berdasarkan keperluan industri, sekali gus pelajar akan dilatih dan diberi pendedahan kepada kemahiran yang dicari oleh pihak majikan berdasarkan konsep ‘hands-on’ dan ‘on the job training’.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373