PELABUHAN KLANG 17 September 2026 (The Capital Post) – Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) tiga pemancing yang dilaporkan hilang di perairan One Fathom Bank, Selangor memasuki hari ketiga dengan penemuan satu mayat kira-kira 14 batu nautika di barat Sungai Apong, Selangor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, mayat tersebut ditemukan dalam sektor pencarian yang diperluaskan ke perairan Selangor berikutan kemungkinan mangsa dihanyutkan arus ke kawasan berkenaan.
Mayat berkenaan kemudiannya dibawa oleh Bot BENTENG 1206 dari Maritim Negeri Perak untuk diserahkan kepada pihak polis bagi proses pengecaman serta pengesahan identiti oleh waris.
Menurut beliau, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) diaktifkan semula pada jam 7 pagi semalam bagi mempergiatkan operasi yang melibatkan aset laut dan udara daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sebuah Kapal Maritim (KM) NUSA dari Maritim Negeri Perak turut digerakkan bagi membantu memperluaskan kawasan pencarian sehingga ke perairan Perak.
-Advertisement-
Sektor pencarian laut kini meliputi kawasan seluas 203.85 batu nautika persegi di sempadan perairan Selangor dan Perak, manakala pencarian melalui udara melibatkan kawasan seluas 408 batu nautika persegi di sekitar One Fathom Bank.
Abdul Muhaimin berkata, Maritim Malaysia terus menyelaras operasi bersama agensi terlibat dengan mengoptimumkan penggunaan aset laut dan udara bagi memastikan misi pencarian dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan.
Usaha mengesan dua lagi pemancing yang masih belum ditemukan akan diteruskan, dengan perkembangan terkini mengenai operasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Maritim Malaysia Negeri Selangor di talian 013-660 6652 bagi membantu usaha pencarian dan menyelamat – The Capital Post