‘Saya lega lelaki yang tikam saya ditangkap polis…’

Estimate Reading Time: 2 minutes

AMPANG: Lelaki yang menikam perut dan tangan bekas teman wanitanya sebelum melarikan diri dalam kejadian di sebuah kondominium dekat Bukit Antarabangsa di sini, pada 8 Ogos lalu ditahan polis semalam.

-Advertisement-

Suspek berusia 41 tahun itu ditahan di pekarangan sebuah masjid di Bandar Dato Onn, Johor Bahru, Johor pada kira-kira jam 5 petang.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pagi tadi dan mendapat perintah reman empat hari sehingga Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata tangkapan terhadap suspek dibuat sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Lelaki itu disyaki terbabit menikam seorang wanita menggunakan pisau dan punca kejadian disebabkan mangsa mahu memutuskan hubungan cinta.

“Suspek turut memancitkan tayar dan memecahkan cermin hadapan kereta mangsa ketika wanita itu berada dalam kereta ketika kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Azam berkata, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

-Advertisement-

Sementara itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Sharifah, 46, berkata beliau dibenarkan keluar hospital pada Jumaat lalu.

Dia yang masih trauma dengan kejadian itu, lega apabila dimaklumkan polis bahawa bekas teman lelakinya sudah ditahan.

“Akhirnya doa saya termakbul. Saya berharap suspek dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal,” katanya.

Sharifah berkata, dia masih rasa sakit pada bahagian luka tikaman terutama di bahagian perut dan perlu menjalani rawatan susulan selepas ini.

Media pada 8 Ogos lalu melaporkan, mangsa yang baru tiba di parkir rumahnya di Bukit Antarabangsa didatangi bekas teman lelakinya kira-kira jam 2.30 pagi.

Suspek kemudian menikam cermin pada bahagian pemandu menggunakan pisau, namun tidak berjaya selain turut menoreh tayar hadapan dan belakang sebelah kanan menggunakan pisau.

Suspek kemudian mengambil tong pemadam api berhampiran lif dan memecahkan cermin hadapan kereta sehingga berlubang sebelum mangsa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Mangsa yang panik kemudian berlari keluar dari kereta sebelum dikejar suspek yang menarik bajunya dan menikam perut serta tangan mangsa.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5309