KUALA LUMPUR 29 September 2026 (The Capital Post) – Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia menawarkan kuota baharu Tarif Galakan (Feed-in Tariff, FiT) bagi tahun 2027 sebanyak 250 megawatt (MW) kepada pemaju tenaga boleh baharu (TBB) yang memenuhi syarat ditetapkan.
Inisiatif di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu melibatkan sumber tenaga biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil, dengan permohonan kuota dilaksanakan melalui kaedah e-bidding.
Sehubungan itu, SEDA Malaysia telah mengadakan sesi taklimat secara dalam talian menerusi platform Microsoft Teams pada 28 September bagi memberikan penerangan mengenai proses permohonan, keperluan serta syarat penyertaan e-bidding FiT 2027.
Sesi tersebut disertai seramai 105 peserta yang berminat mendapatkan maklumat lanjut berhubung peluang permohonan kuota berkenaan.
-Advertisement-
Penawaran kuota baharu itu dijangka merangsang pelaburan berjumlah RM3 bilion serta mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan, sekali gus menyokong perkembangan sektor tenaga boleh baharu negara.
Turut menyertai sesi taklimat ialah Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin; Ketua Pegawai Operasi, Koh Keng Sen; Pengarah Bahagian Operasi Pasaran, Ts. Edisham Mohd Sukor; serta pegawai-pegawai SEDA Malaysia.
Pelaksanaan inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan untuk memperluas pembangunan tenaga boleh baharu melalui penyertaan pemaju yang layak serta menggalakkan pelaburan dalam sektor tenaga lestari – The Capital Post