Sektor pengangkutan boleh terus guna surat SMILE

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pemain industri sektor logistik dan pengangkutan boleh terus mengguna pakai surat kebenaran beroperasi Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) bertarikh dari 1 Jun 2021 dan ke atas bagi pemeriksaan di sekatan jalan raya.

-Advertisement-

Kementerian Pengangkutan berkata, ia susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor serta Kuala Lumpur mulai 3 hingga 16 Julai ini serta pengumuman Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagaimanapun, surat terbaru dengan pindaan mengambil kira peralihan dari fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke PPN sedia dimuat turun pada hari ini (5 Julai) dari sistem SMILE melalui laman sesawang https://application.mot.gov.my.

“Pemain industri digalakkan untuk memuat turun surat ini,” kata kementerian dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu menyebut bagi aktiviti memunggah masuk atau memunggah keluar barangan bukan keperluan (non-essential), ia hanya dibenarkan di kawasan luar PKPD saja (di seluruh negara) berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Bagi kawasan dalam PKPD, ia hanya terhad kepada syarikat pergudangan saja kerana syarikat ini perkhidmatan rantaian kepada pelabuhan dan lapangan terbang yang jelas dibenarkan dalam SOP PKPD Selangor.

-Advertisement-

“Bagi sektor selain pergudangan, aktiviti memunggah masuk atau keluar hanya terhad kepada syarikat yang tersenarai dalam senarai ‘keperluan’ PKPD saja.

Kenyataan itu berkata, sektor pergudangan tidak tertakluk kepada had operasi barangan keperluan saja kerana ia menyediakan perkhidmatan penyimpanan dan pemunggahan barangan siap kepada pelabuhan.

“Aktiviti sektor pergudangan ini tidak membabitkan sebarang aktiviti pembuatan. Sehubungan itu, sektor pergudangan boleh terus beroperasi tanpa kekangan kepada jenis barangan keperluan dan bukan keperluan,” kata kenyataan itu.

Ia turut berkata, perkhidmatan perlu dibenarkan bagi sektor pengangkutan dan logistik termasuk pengangkutan laut, udara dan maritim; barangan dan pengangkutan awam serta pelabuhan dan lapangan terbang.

Ia termasuk perkhidmatan di pelabuhan dan lapangan terbang seperti ‘off dock/on dock’ depoh; pemusnahan dagangan zon bebas; pembekalan keperluan kapal dan membekal air bersih; operasi courier/p-hailing (penghantaran barangan melalui kenderaan persendirian dan perdagangan) serta perkhidmatan terminal pengangkutan awam.–BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373