Skim Perubatan MADANI kurang beban rakyat, petugas kesihatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Skim Perubatan MADANI yang dilaksanakan kerajaan dilihat sebagai strategi serampang dua mata dalam mengurangkan beban rakyat mendapatkan rawatan kesihatan.

-Advertisement-

Pengamal perubatan swasta, Dr Riza Hartini Razali, berkata inisiatif berkenaan berbaloi kerana pesakit yang layak akan diberi peruntukan mendapatkan rawatan perubatan di klinik swasta.

Pada masa sama, katanya, beban petugas kesihatan dan kesesakan di hospital atau klinik kesihatan kerajaan juga dapat dikurangkan.

“Skim berkenaan turut menyediakan peruntukan kepada pengamal perubatan swasta melakukan pemeriksaan kesihatan seperti ujian darah, ujian air kencing dan lain-lain.

“Sebelum ini, ia hanya membabitkan beberapa jenis rawatan dan pemeriksaan yang tidak menyeluruh.

“Dengan adanya skim ini, pesakit boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Riza Hartini berkata, pesakit juga tidak perlu bergantung kepada klinik kesihatan semata-mata untuk mendapatkan rawatan, terutama di kawasan yang mana lokasinya agak jauh.

-Advertisement-

Sehubungan itu, beliau berharap skim berkenaan dapat diperluas ke seluruh negara secara berperingkat dan dipromosi di semua platform media supaya orang ramai lebih cakna mengenai inisiatif kerajaan.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, mengumumkan skim yang dilaksanakan bermula hari ini sehingga 31 Disember itu ditawarkan secara automatik kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, mereka boleh mendapatkan rawatan menerusi program rintis skim itu di pengamal perubatan swasta umum (GP) yang berdaftar di 10 daerah terpilih.

Ia membabitkan Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373