Skuad hoki semangat hadapi Trofi Juara-Juara Asia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan kini berada di fasa persiapan terakhir menjelang saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan.

-Advertisement-

Buat masa ini, skuad kendalian Arul Selvaraj sedang mengadakan perlawanan dengan pasukan remaja kebangsaan bagi mengenal pasti situasi permainan, tempo, kesedaran dan juga daripada sudut taktikal.

“Apa yang saya nak lihat daripada pemain di ACT adalah mengambil tanggungjawab seperti di Korea Selatan (siri jelajah ke Korea Selatan) tempoh hari. Di Korea kita lebih fokus kepada (melihat) kesilapan individu dan juga tumpuan untuk menjadi lebih baik.

“Ini memastikan individu mengambil tanggungjawab, kita ada persiapan dari sudut pasukan dan juga individu. Jadi itu (ACT) adalah fasa terakhir sebelum kita ke Sukan Asia. Selepas fasa itu, di ACT kita akan fokus kepada pasukan,” kata Arul.

Sebelum ini, skuad negara mengharungi empat perlawanan di siri jelajah Korea Selatan bulan lalu, menyaksikan Malaysia meraih satu kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.

Pencapaian terbaik negara di ACT adalah meraih tempat ketiga pada 2011, 2012, 2013 dan 2016 dan bagi saingan di Stadium Mayor Radhakrisnan kali ini, ia bakal menjadi medan persiapan menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022 pada September ini.

-Advertisement-

Dalam pada itu, Arul yang dinobat selaku jurulatih terbaik lelaki pada Anugerah Sukan Negara 2022 baru-baru ini berkata, anugerah itu serta anugerah Pasukan Lelaki Kebangsaan bakal menjadi motivasi buat mereka bagi mencapai lebih banyak kejayaan.

“Kemenangan jurulatih terbaik adalah satu proses untuk lebih maju ke depan. Saya berterima kasih kepada presiden (Konfederasi Hoki Malaysia) Datuk Seri Subahan Kamal yang memberi kepercayaan kepada saya. Paling penting kejayaan ini adalah untuk pemain.

“Kemenangan kita sebagai Pasukan Terbaik untuk 2022 juga salah satu motivasi kerana apabila kita bekerja keras, kita kena ada saat manis dan trofi untuk disimpan sebagai memori, ini juga motivasi untuk terus berusaha gigih,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373