SPAN siap siaga hadapi El-Nino di Kedah, Pulau Pinang

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan penurunan paras air sungai secara mendadak di Sungai Muda, Kedah, sejak Ahad lalu, terkawal dan bekalan air di Kedah serta Pulau Pinang kembali pulih sepenuhnya.

-Advertisement-

SPAN dalam kenyataan hari ini memaklumkan, situasi semasa air di kedua-dua negeri berkenaan selepas menjalankan lawatan tapak susulan laporan penyusutan paras empangan.

Rangka lawatan selama dua hari sejak semalam itu juga sebagai persediaan menghadapi fenomena El-Nino, yang akan memberi kesan langsung kepada perkhidmatan air.

“Di Kedah, delegasi SPAN diberikan taklimat oleh wakil agensi mengenai situasi semasa bekalan air di sana serta persiapan di pihak operator.

“Secara amnya, situasi pembekalan air bersih masih beroperasi seperti biasa, namun tindakan mitigasi sudah dan sedang diambil oleh setiap agensi berkaitan,” menurut kenyataan itu.

SPAN turut membuat tinjauan di lokasi baraj dan mendapati pemulihan bekalan mencapai seratus peratus bagi semua kawasan yang terjejas.

Tinjauan itu disertai Pengerusi SPAN, Charles Anthony Santiago; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan beberapa anggota suruhanjaya SPAN.

Lawatan berkenaan turut disertai agensi berkaitan seperti Syarikat Air Darul Aman (SADA), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM).

-Advertisement-

Selain itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang.

Sementara itu, di Pulau Pinang, SPAN meninjau tiga empangan iaitu Empangan Mengkuang, Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang.

“SPAN mendapati keadaan paras air di Empangan Air Itam masih rendah dengan bacaan paras semasa empangan ketika lawatan adalah pada 41.5 peratus dan Teluk Bahang berada pada paras 45.7 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, ramalan hujan berterusan di negeri itu sehingga Ahad ini, yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia), dijangka dapat membantu meningkatkan paras empangan.

Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang meminta SPAN melakukan siasatan penuh bagi mengetahui punca sebenar penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata siasatan itu perlu berikutan masalah itu menyebabkan 400,000 pengguna di Pulau Pinang menghadapi gangguan bekalan air.

– Berita Harian