Speaker DUN Kedah sahkan tidak bertanding PRN

Estimate Reading Time: < 1 minute

LANGKAWI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Juhari Bulat mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah akan datang.

-Advertisement-

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat berkata, hasrat itu telah dinyatakan kepada Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kedah sejak lebih setahun lalu.

“Saya tidak bertanding pada PRN kali ini, peluang itu akan diberikan kepada pemimpin muda, malah keputusan (tidak bertanding) telah diberitahu kepada pucuk pimpinan sejak setahun lalu.

“Keputusan sudah dibuat dan tiba masanya, kita memberi peluang kepada calon muka baharu untuk berkhidmat kepada rakyat di DUN Ayer Hangat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata, tempoh berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Ayer Hangat dan diberi amanah selaku Speaker DUN selama satu penggal dianggap memadai dan sudah tiba masa kerusi itu diberikan kepada muka baharu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pengundi dan penyokong saya. Terima kasih kepada BERSATU yang memberi kepercayaan kepada saya sehingga hari ini,” katanya.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Juhari berkata, walaupun tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Ayer Hangat, beliau akan terus bekerja kuat dan membantu untuk memastikan Perikatan Nasional (PN) terus menempa kemenangan pada PRN kali ini.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 lalu, menyaksikan Juhari menang kerusi DUN Ayer Hangat selepas meraih 7,550 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Mohd Rawi Abdul Hamid (6,018 undi) dan calon PAS, Azlina Azinan (4,034 undi).

Sementara itu, ketika diminta mengulas pembubaran DUN Kedah pada Rabu ini, beliau berkata surat pemakluman pembubaran DUN Kedah akan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh terdekat.

“Setakat ini belum lagi, surat pemakluman (pembubaran DUN Kedah) itu akan dihantar ke SPR secepat mungkin,” katanya.

– BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5427